MATA perkenal platform inovatif IVT, ubah landskap pelancongan Malaysia
Bernama
Februari 12, 2025 04:30 MYT
Februari 12, 2025 04:30 MYT
Mohd Khalid berkata, IVT bukan sekadar platform, tetapi penyelesaian kepada satu daripada cabaran terbesar dalam industri pelancongan iaitu kepercayaan. - Gambar fail Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) memperkenalkan Interactive Virtual Tourism (IVT), platform inovatif perintis yang mengubah cara ejen pelancongan dan pelanggan berinteraksi dalam masa nyata.
MATA dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, IVT ialah platform konsultasi maya yang selamat dan direka khas untuk meningkatkan kepercayaan, memperkukuhkan keterlibatan pelanggan serta menghapuskan penipuan dalam transaksi pelancongan.
"IVT membolehkan interaksi langsung secara bersemuka antara pelancong dan profesional pelancongan yang disahkan, justeru memastikan pengalaman tempahan yang selamat dan boleh dipercayai.
"Dengan peningkatan kes penipuan pelancongan, IVT menyediakan penyelesaian selamat dengan membolehkan pengguna mengesahkan ejen sebelum membuat sebarang komitmen," menurut kenyataan itu.
Platform itu juga dijangka mengubah landskap pelancongan Malaysia dengan menawarkan cara yang lebih lancar dan selamat bagi orang ramai merancang percutian mereka serta membantu agensi pelancongan membina hubungan pelanggan yang lebih kukuh.
Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun dalam kenyataan sama berkata, IVT bukan sekadar platform, tetapi penyelesaian kepada satu daripada cabaran terbesar dalam industri pelancongan iaitu kepercayaan.
"Dengan membolehkan komunikasi langsung antara pelancong dan ejen, kami menjadikan tempahan pelancongan lebih selamat dan telus berbanding sebelum ini," katanya.
Menurut MATA agensi, pengendali dan pihak berkuasa pelancongan boleh memanfaatkan platform itu untuk menarik lebih ramai pelancong dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.
"Perniagaan dan profesional dalam industri pelancongan dijemput menyertai era baharu pelancongan ini.
"Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai IVT dan manfaatnya kepada perniagaan anda, layari www.mata.travel atau email kepada info@mata.travel," menurut kenyataan itu. - BERNAMA