MATA dalam misi tarik jemaah haji dan umrah China untuk transit ke Malaysia
Bernama
Jun 3, 2023 22:12 MYT
Jun 3, 2023 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) sedang dalam usaha untuk menarik jemaah haji dan umrah daripada negara China, untuk melawat atau transit di Malaysia terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi.
Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya dan beberapa pemain industri haji dan umrah tempatan, akan berangkat ke China dalam masa terdekat bagi mengadakan hubungan perniagaan pelancongan di antara dua negara.
"Pemain industri haji dan umrah tempatan yang terdiri dari ahli kami, telah menyusun beberapa program transit bagi menyambut kedatangan jemaah umrah dari China, seperti pakej selama lima malam di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Pakej transit ini menekankan aspek dari sudut pelancongan Islam di Malaysia, dengan memasukkan lawatan ke masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kami telah mengenal pasti beberapa pemandu pelancong Islam yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, dan akan bekerjasama dengan persatuan pemandu pelancong Kuala Lumpur," katanya.
Mohd Khalid berkata MATA juga akan menjalin kerjasama dengan agensi seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi mengadakan kelas persediaan umrah atau haji kepada jemaah dari China, yang dapat memberi nilai tambah bagi mereka untuk memilih pakej transit di Malaysia.
"MATA percaya dengan adanya misi dagang ini dan mendapat kerjasama dari rakan strategik dari China, sudah pasti dapat membantu pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencapai sasaran lima juta pelancong China ke Malaysia," katanya.
-- BERNAMA