MATA cadang kerajaan manfaatkan hotel bajet sebagai PKRC
Nickyson Nyambar
Ogos 3, 2021 23:40 MYT
Ogos 3, 2021 23:40 MYT
KUALA LUMPUR : Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan agar kerajaan memanfaatkan hotel-hotel bajet di seluruh negara untuk dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi pesakit COVID-19 tahap satu hingga tiga.
Ini susulan keadaan pusat-pusat kuarantin yang dilihat penuh dan sesak akibat peningkatan kes harian terutamanya di kawasan Lembah Klang, kata Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun.
"Sekiranya pesakit COVID-19 bagi tahap satu sehingga tiga dibiarkan berkuarantin di kediaman masing-masing, kepatuhan bagi SOP kuarantin mereka amat diragui.
"Adakah mereka patuh kepada arahan kuarantin atau mereka masih bebas ke sana-ke sini tanpa pengawasan pihak berkuasa.
"Ambil contoh sekiranya pesakit COVID-19 ini tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang penuh sesak dan mempunyai ruang rumah yang agak kecil serta tinggal bersama-sama ahli keluarga yang ramai, bagaimana pula dengan kepatuhan SOP kuarantin mereka.
"Ini sudah tentu akan menyebabkan penularan baru dikalangan penghuni didalam nya dan sekali gus akan menambahkan lagi bilangan kes harian yang tinggi," kata beliau dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian, jelas MATA, pusat kuarantin di hotel-hotel bajet ini sekurang-kurangnya dapat membendung penularan baharu dengan adanya pengawasan dari pihak berkuasa.
"Saban hari kita dihidangkan dengan berita 'brought in dead' (BID) yang agak tinggi yang mana pesakit COVID-19 ini meninggal di rumah tanpa mendapat bantuan perubatan yang sepatut seperti di pusat PKRC yang lain.
"MATA menyeru agar kerajaan mengkaji cadangan kami ini yang dapat membantu menurunkan kes harian yang tinggi saban hari. Sekiranya penggunaan hotel bajet ini sebagai pusat PKRC ini juga dapat membantu ahli-ahli kami dari sektor perhotelan bajet dapat beroperasi kembali dan boleh menjana pendapatan
mereka," tambahnya.
#MATA
#Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia
#Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah
#PKRC
#COVID-19
#hotel bajet