MATA anjur persidangan dan pameran pelancongan Islam pada September
Bernama
Mei 27, 2023 04:00 MYT
Mei 27, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji, Umrah dan Pelancongan Islam Asia (AITEX) 2023 dari 13 hingga 15 Sept bagi memperkenal konsep pelancongan Islam di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
Presiden MATA. Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, acara itu, yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Selangor menyediakan platform kepada pengusaha pelancongan untuk menjalin hubungan perniagaan dengan rakan kongsi dari seluruh Asia manakala pengunjung berpeluang membeli pakej pelancongan Islam dan Umrah yang ditawarkan oleh agensi pelancongan tempatan.
Beliau berkata, AITEX 2023 turut mengadakan satu persidangan pada 13 dan 14 Sept bagi membincangkan topik Haji, Umrah serta Pelancongan Islam dan pengusaha pelancongan akan diberi pendedahan mengenai undang-undang baharu berkaitan kedua-dua ibadah oleh wakil Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
"Industri Haji dan Umrah telah mengorak langkah ke dunia digital dengan pelbagai aplikasi baharu yang akan diperkenal kepada pengusaha pelancongan dan juga pengunjung.
"Selain topik Haji dan Umrah, persidangan ini akan membincang secara mendalam mengenai industri pelancongan Islam khususnya di Malaysia dan Antarabangsa," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Khalid juga berkata AITEX 2023 akan mengadakan Malam Anugerah Pelancongan Islam Sedunia pada 15 Sept bagi mengiktiraf dan menghargai individu serta organisasi yang memajukan industri pelancongan Islam.
-- BERNAMA
#MATA
#Persidangan dan Pameran Haji Umrah dan Pelancongan Islam Asia
#AITEX 2023
#Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia