MATA anjur Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Asia pada 23 Ogos ini
Bernama
Mac 10, 2024 04:30 MYT
Mac 10, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) akan menganjurkan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Asia (AITEX 2024) edisi kedua selama dua hari bermula 23 Ogos ini.
Pengerusi MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, AITEX 2024 yang dijadual berlangsung di Sunway Resort Hotel akan merangkumi acara seperti Ekspo Pelancongan Islam termasuk haji dan umrah, Ekspo Perbankan Islam dan Ekspo Barangan Kemas Islam.
"Acara tahun ini akan menjadi satu platform dinamik bagi pemain industri, pihak berkepentingan dan orang awam untuk meneroka, berkolaborasi dan berinovasi dalam bidang pelancongan dan perdagangan Islam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi AITEX 2024 berkata, penganjuran ekspo itu turut mendapat kerjasama Majlis Pelancongan Islam Sedunia (WITC) dan Pertubuhan Pelancongan Islam Sedunia (GITO).
Selain pameran, katanya, AITEX 2024 akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Pelancongan Islam dan Kewangan Islam yang akan membincangkan mengenai peluang dan cabaran yang dihadapi sektor pelancongan dan kewangan Islam.
AITEX 2024 juga akan menganjurkan Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia pada 26 Ogos ini. - BERNAMA