Mat Yo sedia gegar gawang Indonesia
Bernama
November 18, 2019 17:59 MYT
November 18, 2019 17:59 MYT
Ketiadaan penyerang utama, Muhammad Syafiq Ahmad akibat penggantungan satu perlawanan, sedia digalas seorang lagi penggempur kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha apabila skuad negara berhadapan Indonesia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Penyerang Pahang itu yang lebih mesra dengan panggilan 'Mat Yo' mendedahkan, beliau sedia mempamerkan sentuhan pemusnahnya pada perlawanan berkenaan, dalam mencerahkan peluang Malaysia meraih tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.
Muhammad Syafiq sah terlepas aksi menentang Indonesia setelah mengutip dua kad kuning pada aksi pusingan kelayakan, menentang Vietnam dan Thailand, sebelum ini.
"Untuk saya, moral pasukan agak baik selepas kita menewaskan Tajikistan (pada aksi persahabatan) dan Thailand (pada pusingan kelayakan), cuma pemain tidak harus terlalu yakin untuk perlawanan esok.
"Indonesia merupakan salah satu pasukan yang agak kuat, dan kita perlu berjaga-jaga dan sekiranya kita memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan malam esok, Insya-Allah kita akan berjaya," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan, di venue berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut, pemain kelahiran Besut, Terengganu itu menegaskan, sikap terlalu yakin untuk menewaskan Indonesia harus diketepikan, kerana pasukan lawan dijangka bertekad membalas dendam di atas kekalahan mengejut 2-3 kepada skuad kebangsaan pada aksi pembukaan pusingan kelayakan di Jakarta, pada 5 Sept lalu.
Untuk rekod, Norshahrul menjadi watak penting ketika membantu Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF Suzuki 2010, setelah menewaskan Indonesia menerusi keputusan agregat 4-2 pada dua aksi final. - BERNAMA
#bola sepak
#Bukit Jalil
#Indonesia
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 Piala Asia 2023
#Stadium Nasional