Mat Sabu: Ini cuma perlawanan persahabatan

Irwan Muhammad Zain
November 23, 2013 19:56 MYT
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu - Gambar fail
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan pertembungan antara beliau dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hanya satu 'perlawanan persahabatan'.
Mohamad yang dipilih untuk penggal kedua menduduki kerusi nombor dua PAS menjelaskan tidak ada apa yang mahu diraikan dengan kemenangannya itu.
"Kami (PAS) bukan seperti parti lawan yang habis berjuta untuk menang jawatan timbalan presiden, jadi tak perlu rai apa-apa.
"Menang beza satu dua undi pun menang juga, itu tak penting, yang penting terus bantu parti," katanya pada sidang media selepas pengumuman rasmi pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS, di Stadium Melawati.
Mohamad menewaskan Mohd Amar dengan majoriti tipis 98 undi untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sebelum ini.
Dalam pemilihan 2011, Mohamad menang jawatan sama apabila menewaskan penyandang ketika itu, Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sebelum ini banyak pihak menjangkakan Mat Sabu akan tewas kerana banyak terpalit dengan isu kontroversi seperti isu Syiah dan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) yang lalu.
Mohamad Sabu mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PAS bagi penggal kedua menewaskan pencabarnya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohamad memperolehi 588 undi manakala Mohd Amar mendapat 490 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Pemilihan PAS, Asmuni Awi kira-kira pukul 7.10 malam.
Bagi jawatan Naib Presiden PAS pula, pengiraan semula sedang dijalankan.
#Mohamad Sabu #Muktamar Pas #pemilihan pas
;