Mat rempit rempuh pegawai polis hingga maut diburu

Bernama
September 7, 2015 14:06 MYT
NOOR RASHID: Kita mengambil serius perkara ini dan polis akan memastikan mereka yang terlibat dalam kejadian itu dapat ditangkap dan dikenakan tindakan yang sewajarnya. -Gambar fail
Pihak polis sedang memburu seorang remaja yang dipercayai mat rempit yang merempuh hingga membawa kematian seorang pegawai polis wanita pada sekatan jalan raya di Johor semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya sedang mengadakan pelbagai operasi dan sekatan jalan untuk memburu suspek berkenaan yang menyebabkan kematian Inspektor Margaret Tagum Anak Goen, 32, dari Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
"Kita mengambil serius perkara ini dan polis akan memastikan mereka yang terlibat dalam kejadian itu dapat ditangkap dan dikenakan tindakan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Pihak polis akan menjalankan pelbagai usaha untuk menahan suspek yang mungkin boleh membahaya nyawa orang lain sekiranya dibiarkan, katanya.
Tagum yang cedera parah meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Kejadian berlaku ketika beliau bersama anggota polis yang lain sedang mengadakan Ops Roda/Rempit di Km 58, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Mengenai perhimpunan haram Bersih, Noor Rashid berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kejadian yang berlaku semasa perhimpunan minggu lepas.
"Banyak kertas siasatan dibuka, ada di bawah akta hasutan, ada di bawah akta perhimpunan awam dan ada yang siasat kerana merosakkan harta awam dan berbagai siasatan lain," katanya.
Berhubung insiden memijak gambar perdana menteri dan presiden PAS semasa perhimpunan itu, beliau berkata polis sedang mengenal pasti individu berkenaan dan mereka akan dipanggil untuk mendapatkan keterangan sebelum polis membuat sebarang keputusan.
"Kita akan melengkapkan siasatan dengan memanggil semua yang kita dapati terlibat termasuk mereka yang memijak gambar pemimpin," katanya.
#Margaret Tagum Anak Goen #mat rempit #Noor Rashid #rempuh sekatan polis trafik #sekatan jalan
;