Mat rempit belasah pemandu ambulans, keluarga serah suspek

Nazialita Geynna Maharan
Disember 18, 2017 10:30 MYT
Akibat ditumbuk, pemandu ambulans terbabit menerima empat jahitan di bahagian kening. - Gambar ihsan
Keluarga sekumpulan mat rempit yang disyaki telah membelasah seorang pemandu ambulans akan menyerahkan suspek kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Supt Razlam Ab Hamid berkata kes tersebut berlaku susulan mangsa yang menerima empat jahitan di kening hanya kerana menegur sekumpulan remaja yang berlumba di lebuhraya PLUS.
Difahamkan, insiden sekitar 1.40 pagi Ahad itu berlaku apabila mangsa dan seorang jururawat sedang dalam perjalanan dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping untuk menghantar seorang pesakit.
"Kejadian berlaku berhampiran Tol Kamunting arah utara dan keluarga kesemua suspek akan menyerahkan suspek kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sebelum ini, kejadian yang menyebabkan mangsa cedera di kening kanan dan seorang jururawat ditendang, tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan netizen.
Pemandu ambulans ketika dihubungi pemberita juga memberitahu bahawa insiden hanya berpunca daripada mangsa yang ingin remaja-remaja berkenaan memberi laluan kepada ambulans.
"Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol berkenaan, saya lihat terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang lumba haram.
"Saya bertindak menegur dengan pembesar suara agar mereka memberi laluan, namun ia menyebabkan kumpulan terbabit marah dan mula menghimpit ambulans dengan motosikal.
"Seorang daripada penunggang terbabit terjatuh dan kumpulan berkenaan kemudian menyekat kenderaan saya," katanya.
Menurutnya, antara empat hingga enam remaja lelaki kemudian cuba menariknya keluar dari ambulans sebelum menumbuk mukanya hingga cedera dan membelasahnya bertubi-tubi.
"Jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu dan meleraikan kumpulan terbabit, namun dia turut ditendang.
"Apabila orang ramai di kawasan terbabit mula menyedari kejadian, kumpulan remaja itu melarikan diri dan kami meneruskan perjalanan menghantar pesakit," katanya.
Menurutnya lagi, selepas selesai menghantar pesakit, dia membuat laporan polis di Taiping sebelum pulang ke Parit Buntar untuk dapatkan rawatan.
"Saya berjaya mengecam nombor pendaftaran motosikal salah satu remaja yang memukul saya manakala motosikal lain tiada nombor pendaftaran.
"Difahamkan polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal terbabit dan tindakan serta siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Akibat kejadian itu kening saya kena empat jahitan kerana luka ditumbuk," katanya.
Katanya, lokasi kejadian memang sering dijadikan litar lumba haram membabitkan motosikal dan kereta terutama pada malam minggu.
#kes pukul #lumba haram #mat rempit #pemandu ambulans #plaza tol kamunting #plus highway
;