Mat Kilau: Padang Koba Telok Bakong destinasi pelancongan terbaharu Perak

Aida Aziz
Julai 7, 2022 11:08 MYT
NOLEE ASHILIN: Kita akan melihat kepada cadangan sama ada kita perlu mengekalkan lokasi berkenaan sebagai destinasi popular dalam perfileman. - Foto Astro AWANI
IPOH: Lokasi penggambaran filem Mat Kilau di Padang Koba Telok Bakong, Bota, berpotensi besar diangkat menjadi satu lagi destinasi pelancongan menarik di negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihaknya sedia melihat cadangan bagi menjadikan lokasi itu sebagai sumber produk pelancongan baharu negeri.
"Ia satu cadangan yang baik. Setakat ini kita belum melakukan apa-apa lagi untuk mengekalkan lokasi penggambaran kerana difahamkan lokasinya bukan set kekal.
"Jadi, kita akan melihat kepada cadangan sama ada kita perlu mengekalkan lokasi berkenaan sebagai destinasi popular dalam perfileman," katanya.
Nolee Ashilin berkata demikian pada sidang media Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sebelum ini beberapa daerah di negeri ini sudah menjadi pilihan lokasi penggambaran bagi penggiat filem.
Katanya lagi, Perak Film Office (PFO) yang diwujudkan sejak tahun 2016 turut menawarkan khidmat bagi membantu pengusaha filem memilih lokasi yang bersesuaian di negeri ini.
"Sudah banyak lokasi di negeri ini yang sebenarnya menjadi pilihan kepada produser kerana kedudukannya yang dekat dengan studio di Kuala Lumpur, sekali gus memudahkan mereka untuk bergerak.
"Kita juga mempunyai banyak lokasi berlainan untuk disesuaikan dengan perfileman mereka, sebagai contoh Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5).
"Sudah beberapa kali siri penggambaran diadakan di situ dan kita mengharapkan banyak lagi lokasi yang akan mendapat perhatian pada masa akan datang," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan, filem biografi epik "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang mencetuskan fenomena luar biasa berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.
Pengarahnya Mohd Syamsul Mohd Yusof menerusi hantaran di Instagram berkata, jumlah kutipan itu bakal mengatasi rekod pecah panggung filem Munafik 2 yang juga karya arahannya pada 2018.
#Destinasi pelancongan #Mat Kilau #Padang Koba Telok Bakong #lokasi penggambaran filem
;