Maszlee tolak cadangan hapuskan MUET
Bernama
Februari 23, 2019 19:35 MYT
Februari 23, 2019 19:35 MYT
Menteri Pendidikan Maszlee Malik menolak cadangan menghapuskan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan memasukkannya dalam modul peperiksaan sekolah menengah kerana ia akan membebankan pelajar.
Katanya, MUET adalah peperiksaan kelayakan, berbeza dengan peperiksaan sekolah, justeru ia tidak boleh dihapuskan.
"Tak boleh (hapuskan), ia dua perkara berbeza, dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dah ada Bahasa Inggeris, MUET ini untuk kelayakan (lanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda).
"Macam juga A Level atau O Level tetapi masih kena ambil IELTS (International English Language Testing System)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup Seminar Pendidikan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) 2019 di sini hari ini.
Hari ini, sebuah akhbar tempatan dalam laporan khas muka hadapan memaparkan beberapa pihak menggesa kementerian menyemak kembali syarat wajib menduduki ujian bahasa Inggeris MUET dan wajar dimasukkan dalam pembelajaran peringkat SPM.
Laporan itu menyatakan MUET tidak perlu dijadikan peperiksaan berasingan sebagai syarat wajib lulus memasuki universiti awam, kerana ia membebankan dari segi kewangan dan memberi tekanan kepada pelajar untuk lulus.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mazslee sekali lagi mengulangi komitmen mengembalikan tugas hakiki guru sebagai pendidik dan pengajar.
Katanya, kementerian telah menggerakkan penilaian bagi mengenal pasti punca dan bagaimana guru boleh terjebak dengan kerja perkeranian sehingga tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada tugas asas mereka.
"Saya memberi jaminan bahawa kementerian sangat komited dalam soal ini dan akan melaksanakan penilaian secara berterusan serta tidak teragak-agak untuk menghentikan sebarang tugasan yang didapati tidak menyumbang kepada produktiviti kerja seorang guru," katanya. -- Bernama