Maszlee nafi program di Semenyih adalah 'kempen awal' menuju PRK

Israr Khalid
Februari 11, 2019 13:59 MYT
Timbul persepsi bahawa kehadiran Maszlee ke kawasan itu adalah bagi memulakan kempen lebih awal. - Gambar fail
Seawal jam 7 pagi, Menteri Pendidikan Maszlee Malik sudah berada di SMK Bandar Tasik Kesuma, Beranang untuk menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM): Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019.
Selesai di situ, beliau bergegas ke Semenyih untuk melawat tapak projek SK Taman Pelangi yang diluluskan pembinaannya pada Oktober 2018 selepas enam tahun penduduk setempat memohon pembinaannya.
Maka timbul persepsi bahawa kehadiran Maszlee ke kawasan itu adalah bagi ‘memulakan kempen lebih awal’ mewakili Pakatan Harapan (PH) memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih tinggal kurang sebulan lagi. Namun beliau menafikan perkara itu.
“Kita telah merencana program sejak dari awal dan bukan hanya di Beranang. Semalam saya di Johor Bahru, hari sebelumnya di Putrajaya, dan di merata Malaysia.
“Program yang dilakukan oleh KPM berterusan setiap tahun, tidak kira ada PRK atau apa sahaja yang berlaku,” tegasnya ringkas.
Programnya di situ berlangsung sehari selepas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang.
Seperti Maszlee, Ahli Parlimen Muar itu turut menafikan kehadirannya ke DUN Semenyih bukan untuk ‘memberi dedak’, tetapi bagi memenuhi janji kepada penduduk yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Semenyih pada 16 Februari, tarikh mengundi awal pada 26 Februari dan hari mengundi pada 2 Mac depan.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, kerana serangan jantung pada 11 Januari lalu.
Sementara itu, Maszlee memaklumkan bahawa projek SK Taman Pelangi yang berkeluasan 10 ekar dan bakal memuatkan lebih 700 pelajar itu dijangka siap pada 19 Oktober 2020 dengan menelan kos RM20.7 juta
Projek itu katanya sebahagian daripada peruntukan RM67.58 juta yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) bagi pembangunan pendidikan di Selangor.
“Kejayaan projek ini adalah hasil perjuangan panjang Persatuan Penduduk Taman Pelangi, Semenyih sejak 2012 yang hanya berjaya direalisasikan setelah kerajaan PH mengambil alih.
“Akan ada banyak lagi projek pembinaan sekolah yang tergendala akan kita percepatkan kelulusannya nanti,” maklumnya.
#Beranang #Dr Maszlee Malik #Kementerian Pendidikan #kempen #pilihan raya #PRK Semenyih #sekolah #Semenyih
;