Maszlee nafi minta guru jadikan sekolah medan dakwah

Dania Zainuddin
Disember 20, 2018 20:34 MYT
MASZLEE: Orang salah faham apabila saya sebut mengenai guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah, ada yang terus ingat pasal tukar agama. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menolak dakwaan meminta guru-guru menjadikan sekolah sebagai medan untuk dakwah agama.
Sebaliknya, beliau menjelaskan dakwah yang dimaksudkan merujuk kepada menyeru dan mengajak kepada kebaikan, dan bukan untuk menukar agama.
"Orang salah faham apabila saya sebut mengenai guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah, ada yang terus ingat pasal tukar agama. Itu pemahaman yang sempit.
"Dakwah yang saya maksudkan adalah untuk mengajak kepada kebaikan. Walaupun kita mengajar subjek seperti Matematik atau Pendidikan Jasmani, jika ia bertujuan untuk memandaikan, ia adalah dakwah.
"Ia tidak boleh disamakan dengan gerak kerja hal agama," kata Maszlee ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, pada Khamis.
Sebelum ini Maszlee dilaporkan telah menasihatkan guru agama dari Kelantan dan Terengganu untuk tidak pulang ke Semenanjung dan untuk terus mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah dan medan menabur bakti.
#guru #Maszlee Malik #medan dakwah #menteri #pendidikan #Putrajaya #sabah sarawak #sekolah
;