Maszlee mohon peruntukan tambahan untuk SK dan sekolah agama

Bernama
Februari 5, 2019 07:30 MYT
Maszlee menjelaskan, peruntukan RM12 juta kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina tahun ini bukan dari KPM, sebaliknya ia adalah dana khas. - Gambar fail
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki Sekolah-sekolah Kebangsaan dan Sekolah-sekolah Agama Negeri.
Dalam kenyataan pada Selasa, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata perkara itu masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.
"Oleh itu, tanggapan mengatakan Menteri dan KPM tidak mengambil berat tentang kebajikan murid dan sekolah khususnya yang membabitkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama adalah tidak berasas sama sekali," katanya.
Mengenai peruntukan kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina tahun ini yang berjumlah RM12 juta, jelas kementerian ia bukan merupakan peruntukan dari KPM.
"Sebaliknya ia adalah dana khas yang telah disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada sekolah-sekolah terlibat," katanya.
Selain itu kata kementerian, laporan media sosial yang memberi gambaran seolah-olah KPM hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah-sekolah Cina berdasarkan beberapa pengumuman dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching adalah tidak benar.
"Dalam kes yang dipertikaikan oleh beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan kebelakangan ini adalah peruntukan yang telah pun diluluskan untuk 2018, dan bukannya peruntukan 2019.
"Memandangkan peruntukan tersebut adalah peruntukan 2018, maka KPM perlu menyalurkan peruntukan tersebut ke Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) masing-masing sebelum penutupan akaun tahun 2018," katanya.
Kementerian berkata kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2019 juga telah meluluskan RM652 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah.
Daripada jumlah tersebut, katanya sebanyak RM527 juta diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (RM250 juta); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM50 juta); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM50 juta); Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta); Sekolah Mubaligh (RM50 juta); Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan/Conforming School( RM15 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (RM12 juta).
"Manakala baki sebanyak RM125 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta); Sekolah Tahfiz (RM50 juta) dan Sekolah pondok yang berdaftar (RM25 juta)," kata KPM.
--BERNAMA
#Belanjawan 2019 #Kementerian Kewangan #Kementerian Pendidikan #kerajaan #Lembaga Pengelola Sekolah #Lim Guan Eng #Maszlee Malik #peruntukan tambahan #sekolah #sekolah agama #Sekolah Kebangsaan #SJKC
;