Maszlee letak jawatan, menteri lain jangan terlalu selesa - Penganalisis
Hilmi Malik
Januari 3, 2020 19:48 MYT
Januari 3, 2020 19:48 MYT
Anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lain dinasihatkan agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan mereka buat masa ini susulan keputusan peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berkuatkuasa hari ini.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan yang dibuat Maszlee itu tidak mustahil membawa kepada rombakan Kabinet termasuk perubahan portfolio dalam kalangan menteri sedia ada.
“Sudah pasti ada kemungkinan mereka digugurkan dan diganti dengan pemimpin lain yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri.
“Apa yang lebih penting buat masa ini, mereka perlu meneruskan tanggungjawab dan agenda transformasi perlu diteruskan dalam kedudukan kerajaan sedia ada dan ia akan menjadi tulang belakang kepada sebarang prestasi yang dipamerkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas mengenai keputusan Maszlee melepaskan jawatannya, pihaknya tidak menolak sekiranya ia berpunca akibat tekanan yang diterima berhubung beberapa isu yang dilihat mencetuskan kontroversi.
“Beliau sendiri dilihat sukar mengatasi persepsi ke atas beberapa keputusan yang dibuatnya dan mungkin keadaan ini juga mengakibatkan pelbagai pihak mengambil peluang untuk melakukan desakan secara berterusan," katanya lagi.
Maszlee pada Khamis mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas di kementerianya sebaik sahaja menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Perdana Menteri menerusi kenyataannya memaklumkan akan mengumumkan pengganti Maszlee dalam masa terdekat.