Maszlee dilema, tidak mahu derhaka dan bazirkan duit cukai rakyat
Rohana Wahed
September 7, 2018 15:34 MYT
September 7, 2018 15:34 MYT
'Tidak mahu derhaka'
Itu merupakan jawapan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung keputusannya menerima pelantikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa seperti yang diumum universiti tersebut baru-baru ini.
Beliau membuat penjelasan itu setelah berdiam diri ketika banyak pihak memberi pelbagai reaksi berhubung pelantikannya
"Setakat ini, saya telah dilantik oleh sultan (Sultan Ahmad Shah). Secara undang-undang saya telah menjadi presiden dengan tanpa gaji, elaun, elaun penerbangan, kereta dan keraian.
"Jadi saya dilema kalau saya tidak terima," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg.
Ia kunjungan pertama Dr Maszlee ke Sarawak setelah dilantik Menteri Pendidikan.
Pelantikan dirinya kata Dr Maszlee, adalah atas dasar profesional dan politik.
Ia juga disifatkan sebagai sesuai untuk waktu ini, ketika kerajaan sedang mengambil langkah berjimat cermat.
Jelasnya, jika individu lain yang dilantik sebagai presiden, kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk membayar elaun dan kemudahan yang bakal dinikmatinya.
"Sekiranya melantik orang lain, beliau akan dibayar elaun menggunakan duit rakyat. Jadi adakah saya hendak mengutamakan cukai dibayar rakyat atau hendak mengutamakan tekanan. Oleh itu, dalam kes ini saya utamakan rakyat," katanya.
#berbelanja lebih
#derhaka
#Dr Maszlee Malik
#elaun
#Menteri Pendidikan
#penerbangan
#Sultan Ahmad Shah
#Sultan Pahang