Maszlee cadang penerima zakat diberi bantuan buku

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 13, 2018 19:46 MYT
MASZLEE: Bukan lagi baju sekolah semata-mata, tetapi juga diberikan buku kepada anak-anak asnaf untuk mereka menjadi seorang yang berilmu. -Astro AWANI
Menteri Pendidikan Maszlee Malik mencadangkan agar penerima zakat atau asnaf diberi bantuan berbentuk buku selain wang atau makanan.
Menurutnya, langkah ini bagi meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan asnaf.
“Sebab itu baru-baru ini dalam pertemuan saya dengan para mufti, dengan Majlis Zakat dengan Majlis Agama, saya katakan sudah sampai waktu untuk diberikan kepada asnaf bukan lagi duit dan makanan semata-mata.
"Bukan lagi baju sekolah semata-mata, tetapi juga diberikan buku kepada anak-anak asnaf untuk mereka menjadi seorang yang berilmu, untuk mereka menghasilkan imaginasi yang akan mendorong diri untuk maju di dalam pelajaran dan juga kerjaya," kata Maszlee.
Cadangan itu diusulkan Maszlee berikutan laporan tabiat pembaca di negara ini yang dikatakan masih berada di tahap yang rendah berbanding negara lain.
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005, rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun.
Jumlah itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 namun ia masih jauh berbanding di negara maju di mana kadar purata bacaan ialah 40 judul buku setahun.
"Kadar celik huruf rakyat Malaysia pula hampir ke angka 94.94 peratus mengikut laporan "Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015," kata Maszlee ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan, pada Khamis, di Putrajaya.
"Kadar celik huruf rakyat Malaysia pula hampir ke angka 94.94 peratus mengikut laporan "Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015"," kata Maszlee ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Putrajaya.
Tambah Maszlee, kerajaan sedang dalam perancangan menyasarkan penerbitan negara agar mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020 berbanding 19,713 judul pada 2017.
#Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends #Buku #Dekad Membaca Kebangsaan #kadar purata bacaan #Maszlee Malik #tabiat membaca
;