Maszlee balas 'serangan' KJ
Sinar Harian
November 12, 2018 17:41 MYT
November 12, 2018 17:41 MYT
Selepas disindir Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membalas 'serangan' bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
Maszlee berkata, beliau sedia maklum dengan semua isu pendidikan yang kerap dijadikan 'bahan' pembangkang sejak kebelakangan ini antaranya program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu 1Malaysia.
"Cuma KJ (Khairy Jamaluddin) kena tahu, saya juga tahu tentang korupsi dan salah laku kerajaan terdahulu dalam RMT sekolah sehingga diberikan amaran oleh Jabatan Audit Negara.
"Saya juga tahu hilangnya susu dari program bantuan susu sewaktu kerajaan dahulu," katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut memuat naik dokumen berhubung teguran Jabatan Audit Negara terhadap program RMT yang bertarikh 1 Mac 2016.
Antara teguran itu termasuklah berkaitan kelewatan agihan peruntukan kepada pejabat pendidikan daerah dan hidangan makanan tidak mengikut menu ditetapkan.
Maszlee menegaskan, RMT bukan projek bantuan sarapan yang disasarkan kepada golongan B40 yang kini sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan.
"Ramai anak-anak di desa dan miskin kota yang pergi ke sekolah dengan perut kosong dan hanya makan pada waktu tengah hari melalui RMT.
"Saya turun ke sekolah-sekolah dan mendengar rintihan anak-anak," katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga sedia maklum dengan beberapa projek kementerian dilakukan secara rundingan terus ketika kerajaan terdahulu antaranya isu solar diesel di Sarawak.
Maszlee dalam nada sinis turut mengucapkan tahniah kepada Khairy Jamaluddin kerana cakna dengan isu pendidikan.
"Saya ingatkan anda lebih bijak daripada mereka yang berotak lobak itu YB, sila buktikan anda lebih bijak dari mereka," katanya.
Dalam sesi perbahasan Belanjawan 2019 hari ini, Khairy Jamaluddin dilihat banyak menyindir Maszlee kerana didakwa terlalu sibuk memberi cadangan dan kenyataan yang tidak perlu.
Dalam pada itu, Maszlee turut memberi komen tentang ciapan dibuat Khairy Jamaluddin di Twitter peribadinya semalam.
"Terima kasih atas 'nice words' dalam tweet semalam. Tidak sabar untuk melihat parti baharu anda...," katanya.
Semalam, Khairy Jamaluddin memuat naik gambar beliau bersama bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika mereka menghadiri debat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anjuran Sinar Harian pada 2012 dan turut kelihatan gambar Maszlee yang menjadi moderator program pada masa itu.
#isu pendidikan
#Jabatan Audit Negara
#Khairy Jamaluddin
#Maszlee Malik
#Pemuda UMNO
#Program Susu 1Malaysia
#Rancangan Makanan Tambahan
#RMT
#UMNO