Maszlee akui tidak mahu selamanya jadi Menteri Pendidikan
Diyana Ibrahim
Oktober 18, 2018 16:28 MYT
Oktober 18, 2018 16:28 MYT
Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengakui beliau enggan memegang jawatan itu untuk tempoh lama sebaliknya berhasrat untuk berpindah ke kementerian lain kelak.
Beliau menjelaskan hasratnya itu adalah supaya dapat membawa pembaharuan sepertimana dilakukannya di Kementerian Pendidikan.
“Itu kena tunggu menteri seterusnya, kecuali saya kekal menteri pendidikan; saya akan buat kenyataan masa itu.
“Tapi kalau boleh mahu pindah ke kementerian lain. Kita dah laksana sesuatu, kita ‘reform’ di tempat lain pula,” katanya pada media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media tentang perancangan yang akan dibincangkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN).
Terdahulu, beliau mengumumkan pelantikan 13 anggota dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara.
Wakil rakyat dari Bersatu sebelum ini terpalit dengan kontroversi berikutan kenyataannya mengenai pemakaian kasut hitam bermula tahun depan.
Terbaharu beliau juga dikritik kerana ingin menetapkan warna stoking pelajar.
Susulan itu, beliau dinasihatkan veteran DAP Lim Kit Siang agar berhenti bercakap mengenai kasut dan stoking dan tidak terperangkap dengan 'propaganda' bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
#Kementerian Pendidikan
#Mazlee Malik
#Menteri Pendidikan
#Najib Razak
#pegang jawatan
#pindah kementerian