'Masyitah mungkin terlepas kejohanan dunia di Filipina, tumpu proses pemulihan'

Bernama
Mei 16, 2024 15:30 MYT
Adam Adli bertemu keluarga Siti Nurul Masyitah di Hospital Columbia Asia di sini hari ini. - Bernama
JOHOR BAHRU: Atlet kayak negara Siri Nurul Masyitah Md Elias, mungkin terlepas menyertai Kejohanan Dunia Perahu Naga ICF 2024 di Filipina pada 30 Okt hingga 3 Nov depan selepas cedera parah dalam kemalangan Sabtu lepas dan perlu menumpukan kepada proses pemulihan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli.
Menurut Adam, atlet 22 tahun itu terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai kejohanan dunia buat julung kalinya disebabkan patah tulang pelvik, bahu kanan serta belakang badan selepas dirempuh dan diseret kira-kira 600 meter.
Beliau berkata Siti Nurul Masyitah sepatutnya sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan berkenaan dan menjalani latihan untuk menyertai kejohanan dunia di Palawan, Filipina, namun akibat kemalangan dia mungkin tidak akan menyertainya serta terlepas beberapa kejohanan lain.
"Apabila berlaku kemalangan sebegini yang mengakibatkan kecederaan serius, dia perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mentalnya
"Untuk pulih betul-betul, ...saya serahkan pada jurulatih dan rakan-rakan yang lain untuk bincang dengan dia, apa pun pilihan dia kita akan cuba bantu dan sokong sebaik mungkin sesuai dengan jasa dia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Siti Nurul Masyitah di Hospital Columbia Asia di sini hari ini.
Adam berkata tempoh pemulihan dan penyembuhan atlet tersebut mungkin akan memakan tempoh yang agak lama, selain KBS yakin rawatan yang diberikan sesuai dalam usaha mengembalikan keadaan atlet itu kepada keadaan asal.
Katanya KBS juga bersedia untuk menanggung kos rawatan sekiranya memerlukan kulit import dari luar negara untuk rawatan kecederaan pada bahagian belakang seperti rawatan yang dilakukan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.
"Saya yakin dia seseorang yang kuat, dia juga cukup ceria namun kami tidak bincang berkaitan penyertaannya dalam kejohanan dunia itu sebaliknya memberi semangat kepadanya untuk terus bangkit.
"Malah permintaanya hanya satu, dia ingin menduduki dua lagi kertas peperiksan semester akhir di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan kami berharap ia dipertimbangkan kerana dia boleh membaca, menulis dan berbual serta menggerakkan anggota badannya," katanya.
Sementara itu, ibunya, Saloma Ramli, 58, berkata Siti Nurul Masyitah menunjukkan perkembangan positif dan boleh bertutur dan makan seperti biasa.
"Namun hari ini dia perlu puasa, petang kira-kira pukul 5 dia masuk bilik bedah untuk melihat keadaan sama ada boleh menggunakan kulit bahagian lain untuk tampal bahagian belakang yang cedera," katanya.
-- BERNAMA
#atlet kayak #pemandu mabuk #masa depan #kejohanan dunia
;