Masyarakat Sikh sambut tahun baharu secara maya melalui e-Vaisakhi

Bernama
April 13, 2020 22:37 MYT
Selain merupakan tahun baharu kepada masyarakat Sikh, Vaisakhi juga merupakan festival menuai musim bunga. - Gambar fail
Hari ini (Isnin) menandakan Tahun Baharu Sikh, yang dipanggil Vaisakhi, dan sambutan perayaan itu menjadi agak unik ketika negara kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak COVID-19.
Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia, Dr Jasbir Singh berkata kira-kira 120,000 masyarakat Sikh di Malaysia menyambut perayaan Vaisakhi dengan mematuhi peraturan jarakan sosial - dan meraikannya secara dalam talian.
"Tahun ini kami menyambutnya secara elektronik. Kami menyebutnya e-Vaisakhi, ia membolehkan masyarakat untuk terus menikmati keindahan kirtan (nyanyian lagu keagamaan) oleh kumpulan terkenal ragi jathas (kumpulan nyanyian lagu keagamaan).
"Kami juga menyiarkan Satsang dan Akhand Path, menerusi laman sosial Facebook selama 48 jam. Ini adalah bacaan tanpa henti kitab keagamaan Sri Guru Granth Sahib Ji, dalam tempoh itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.
Selain merupakan tahun baharu kepada masyarakat Sikh, Vaisakhi juga merupakan festival menuai musim bunga.
Beliau berkata banyak badan bukan kerajaan (NGO) termasuk SIKHinside turut memulakan penstriman secara langsung Satsang melalui laman Facebook masing-masing. SIKHinside mula menyiarkan Satsang pada 23 Mac sehingga esok manakala Akhand Path mula ditayangkan secara langsung pada 12 April.
Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Jagir Singh berkata Vaisakhi biasanya disambut setiap tahun secara besar-besaran di seluruh negara. Bagaimanapun, beliau percaya bahawa memandangkan keadaan semasa, meraikan bersama ahli keluarga di rumah adalah lebih bermakna.
"Pada masa lalu, kami akan berkumpul di Gurdwaras pada Vaisakhi tetapi tahun ini, kerana PKP, kami tinggal di rumah dan menyambutnya dengan keluarga kami.
"Warga tua dalam kalangan kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan makna dan pentingnya perayaan ini kepada generasi muda dan semua orang akan berdoa di rumah," katanya.
Bagi Dasmesh Kaur Jesa Singh, sambutan Vaisakhi tahun ini biarpun sederhana tetapi amat bermakna.
"Saya telah bersembahyang di rumah dan menonton upacara sembahyang secara dalam talian. Ia satu pengalaman yang berbeza. Malam ini saya akan menyaksikan telemovie Punjabi (Rabba Mereya) di televisyen, yang merupakan filem terbitan pertama Malaysia, jadi saya sangat teruja untuk menontonnya," katanya.
Esok, masyarakat Tamil akan menyambut Tahun Baharu Tamil (Chittirai Puttandu) manakala masyarakat Malayalee akan meraikan perayaan Vishu.
-- BERNAMA
#atas talian #keluarga #koronavirus #laman sosial #Sikh #vaisakhi
;