Masyarakat selesa dengan sesi persekolahan bermula Januari - Dr Anuar Ahmad
Faida Rahim
Disember 30, 2022 18:52 MYT
Disember 30, 2022 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia selesa dengan sesi persekolahan pada bulan Januari setiap tahun yang telah dilaksanakan sejak dulu lagi.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad memaklumkan tidak menjadi masalah sekiranya sesi persekolahan dikembalikan semula kepada Januari untuk sesi 2024.
“Meskipun berdepan musim banjir untuk penduduk Pantai Timur, itu tidak menjadi masalah kepada ibu-bapa dan pelajar sekiranya takwim sesi persekolahan baharu yang dianjak ke Januari untuk sesi 2024.
“Ini kerana masyarakat kita sudah selesa dengan sesi sekolah pada Januari yang sudah diselaraskan dengan cuti perayaan, begitu juga dengan cuti keluarga dan sebagainya.
“Pada saya sama ada bulan Januari atau Mac, kita pasti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat keputusan yang terbaik dan meletakkan kepentingan utama kepada kebajikan dan keselesaan pelajar,” katanya.
Dalam masa yang sama, Dr Anuar Ahmad memaklumkan dalam program Pantau Kerajaan Baharu mengakui sama ada sesi persekolahan bermula pada Januari atau Mac, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
“Soal takwim sekolah ini perlu mengambil kira kesesuaian pandangan majoriti ibu bapa untuk melihat perancangan dan kesediaan anggota keluarga masing-masing.
“Saya percaya perkara teknikal ini boleh diselesaikan oleh pihak KPM. Yang penting, takwim persekolahan 2024, ibu bapa dan penjaga harus dimaklumkan lebih awal mengenainya agar persediaan boleh dilakukan sewajarnya memandangkan kos sara hidup semakin meningkat," katanya lagi.