Masyarakat perlu insaf, tahap kesihatan ekosistem sungai gambaran 'hati' - Sultan Perak
Irfan Faruqi
September 25, 2023 11:40 MYT
September 25, 2023 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat, malah tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan ‘hati’ masyarakat setempat.
Baginda turut menyeru agar dirumuskan suatu kerangka baharu yang lebih segar, lebih teratur dan lebih berdaya maju, untuk menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.
"Masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat. Jika bahasa melambangkan bangsa, tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan ‘hati’ masyarakat setempat.
"Aliran sungai yang indah amat berkait rapat dengan aliran yang indah dalam hati manusia. Pendekatan ‘hard-ware’ (sains dan teknologi), dan ‘soft-ware’ (dasar, undang-undang dan norma), tidak lengkap tanpa ‘heart-ware’ (hati, roh atau manusiawi)," titah baginda.
Sultan Nazrin berkenan melancarkan buku Tafsir Mawduí Sungai, karya pakar bidang pengajian Al-Qur’an dan As-Sunnah, Prof Datuk Zulkifli Mohd Yusoff dan pakar bidang pengajian alam sekitar, Datuk Seri Zaini Ujang pada Isnin.
Baginda turut menzahirkan bahawa usaha memastikan kelestarian sungai perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan realiti setempat dan tidak kaku.
"Persoalan melestarikan sungai bersifat budaya (cultural) dan geopolitik (geopolitical), dan tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar (rigid) dan bersegmen (segmented).
"Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan," titah baginda lagi.
Sultan Perak juga menzahirkan statistik kualiti air sungai yang dilaporkan melalui Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021 yang meilbatkan 670 sungai diseluruh negara.
Menurut laporan itu, 73 peratus (489) sungai menunjukkan indeks kualiti air bertaraf bersih, 24 peratus (158) sungai bertaraf sederhana cemar, manakala tiga peratus (23 sungai) bertaraf tercemar.
Pemantauan kualiti air di 1,351 stesen pengawasan pada tahun 2021, menunjukkan 75 peratus (1,012) sungai bertaraf bersih, 22 peratus (293) sungai bertaraf sederhana tercemar, dan tiga peratus (46) sungai bertaraf tercemar.