Masyarakat perlu bijak nilai isu elak perpecahan rakyat - Kurup
Bernama
November 6, 2016 21:59 MYT
November 6, 2016 21:59 MYT
Masyarakat perlu bijak dan adil dalam menilai sesuatu isu terutamanya yang menyentuh sensitiviti kaum yang tersebar dalam media sosial bagi mengelak berlakunya perpecahan perpaduan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata isu yang belum pasti kesahihannya amat mudah mempengaruhi minda dan membawa kepada pemikiran negatif.
"Adalah dikhuatiri isu-isu yang belum pasti sahih, tidak benar, berunsur provokasi atau berbaur fitnah yang tersebar luas akan mendatangkan kacau bilau dan akhirnya mengganggu gugat kestabilan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata senario masa kini menyaksikan penggunaan media sosial menjadi begitu popular dalam kalangan masyarakat kerana pelbagai maklumat dapat diakses dengan mudah.
"Penggunaan media sosial boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Rakyat boleh mengkritik sesuatu perkara yang memberi kebaikan kepada semua tetapi perlu mengelakkan sesuatu kritikan yang boleh merosakkan perpaduan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, badan bukan kerajaan, komuniti dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam mempromosikan perpaduan secara konsisten dan efisyen, bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada pihak kerajaan sepenuhnya.
Kurup berkata inisiatif seperti memperbanyak slogan perpaduan wajar diperluas dan dilaksana di seluruh negara bagi menyemarakkan semangat cintakan negara serta meletakkan perpaduan dan kemakmuran negara sebagai asas utama.
"Slogan perpaduan diyakini mampu mempengaruhi minda atau pemikiran serta nilai individu ke arah yang lebih positif.
"Hasilnya, masyarakat dengan sikap yang positif dapat dibentuk seiring dengan pemikiran yang positif. Dengan cara ini, usaha kita untuk meningkat dan mengukuhkan perpaduan negara dapat dicapai," katanya.
-- BERNAMA