Masyarakat perlu bijak memahami perbezaan agama - Prof Khoo
Hakim Rahman
Februari 2, 2013 21:08 MYT
Februari 2, 2013 21:08 MYT
Pengasingan penduduk mengikut agama dan kaum pada zaman penjajah antara punca kurangnya keharmonian antara agama masyarakat kini.
Demikian menurut pakar sejarah, Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim yang mengakui perkara tersebut tidak dapat dielakkan.
Namun tegasnya masyarakat seharusnya bertindak lebih bijak dalam memahami perbezaan agama.
"Kepercayaan dulu ialah jika mereka tidak duduk dekat satu sama lain, masalah tidak akan timbul. Kemudian kita sudah jadi satu negara bangsa, jadi kita tidak boleh meneruskan dasar seperti itu.
Semua rakyat mesti belajar untuk bekerjasama dan merapatkan diri," katanya ketika ditemui Astro Awani di sini hari ini.
Tambahnya, masyarakat kini perlu mengambil iktibar dan bersama memupuk perpaduan walaupun berlainan agama.
Jelasnya, ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan mengunakan sentimen agama untuk kepentingan peribadi.
Tambah ia bagaimanapun boleh diatasi sekiranya masyarakat mempunyai pengetahuan tentang agama lain.
Sementara itu Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Hafiz Ariffin berpendapat, dialog antara agama mampu memupuk persefahaman kalangan rakyat.
"Kalau budaya ini menjadi satu pelaksanaan di dalam peringkat mahasiswa atau anak muda ia sedikit sebanyak akan membantu proses persefahaman agama diantara masyarakat Malaysia," katanya lagi.
Tokoh bagi setiap agama juga jelasnya perlu memainkan peranan dalam memberi penjelasan mengenai agama masing-masing.
Mereka berkata demikian sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia yang disambut pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun. Sambutan ini bertujuan menyahut keperluan dialog di kalangan pelbagai penganut agama untuk meningkatkan keharmonian, persefahaman dan kerjasama antara umat.