Masyarakat Orang Asli punya peranan pilih kerajaan

Bernama
April 5, 2013 10:51 MYT
Seperti pengundi baharu yang lain, Sulin Debot yang akan mengundi pada pilihan raya umum buat pertama kali, amat teruja untuk menunaikan tanggungjawab dan haknya sebagai rakyat Malaysia.
Pemuda keturunan suku Jakun berusia 23 tahun ini adalah antara 69,510 pemilih berdaftar kaum Orang Asli yang akan berpeluang mengundi pada pilihan raya umum ke-13 ini.
Kata Sulin, biarpun masyarakat Orang Asli adalah kaum minoriti, mereka juga berkuasa memilih parti politik yang berkredibiliti untuk menerajui negara.
"Saya memang sudah tidak sabar untuk mengundi dan peluang ini hanya dapat dirasai dalam tempoh lima tahun sekali... jadi adalah satu perkara yang merugikan jika kita tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat," katanya.
Bagi Sulin yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di ibu negara, generasi muda Orang Asli hari ini bertuah dan mempunyai kehidupan yang lebih baik berbanding nenek moyang mereka.
Bagi memastikan tiada masyarakat termasuk kaum orang Asli di negara ini yang terpinggir daripada arus pembangunan, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjaran 2013 memperuntukkan RM139 juta bagi tujuan penambahbaikan ekonomi serta pembangunan asas masyarakat itu.
Menyedari akan kepentingan pendidikan, RM44.2 juta diperuntukkan untuk bantuan tambang bas sekolah, pakaian seragam, makanan pelajar dan bantuan persekolahan.
Menyorot kembali pengalaman Sulin meneruskan pengajian selama tiga tahun di Universiti Teknologi Mara, beliau berkata masalah kewangan sering menjadi isu pokok masyarakat orang Asli.
"Rata-rata masyarakat Orang Asli bekerja sebagai petani dan mengharapkan sepenuhnya kepada sumber hutan. Tetapi saya bersyukur kerana kerajaan menerusi JAKOA banyak membantu anak-anak Orang Asli untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS," katanya yang berharap kerajaan sedia ada terus mendapat mandat menerajui pemerintahan.
Bagi Sulin dan masyarakat Orang Asli yang lain, pilihan raya umum ke-13 ini memberi peluang kepada mereka untuk memilih siapa wakil rakyat dan parti mana yang mereka mahu untuk memperjuangkan nasib masyarakat pribumi.
Presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) Rashid Ka' berkata masyarakat Orang Asli bukan hanya memerlukan wakil rakyat yang mampu memperjuangkan hak mereka tetapi juga individu yang mempunyai pendekatan mesra rakyat dan disenangi masyarakat berkenaan.
"Terdapat segelintir wakil rakyat yang memandang jijik dan sukar untuk bergaul dengan masyarakat Orang Asli malah terus membuat andaian dan stereotaip yang memberi gambaran buruk mengenai Orang Asli," katanya.
Beliau berkata kriteria berkenaan dan kredibiliti calon memainkan peranan penting bagi masyarakat Orang Asli dalam memilih wakil rakyat mereka kali ini.
"Untuk memancing undi Orang Asli bukan hanya bersandarkan kepada pemberian beras, ikan kering atau barangan lain sebaliknya kita melihat calon-calon berkualiti yang dapat berbakti kepada Orang Asli," katanya.
Rashid yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Orang Asli Malaysia (YOS), berkata hasil perkembangan pesat teknologi maklumat, minda masyarakat Orang Asli kini terbuka dan sentiasa peka terhadap senario politik semasa.
#Orang Asli #Pengundi baru #PRU-13
;