Masyarakat Orang Asli dinasihat agar utamakan perubatan moden

Bernama
Jun 23, 2019 19:10 MYT
Peserta kursus juga berpeluang mempelajari kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR). - Bernama
Pendedahan kepada kursus asas perubatan menjadikan 33 belia Orang Asli dari Pos Lenjang, Lipis berazam untuk bergelar 'penasihat' kepada masyarakat mereka supaya mengutamakan perubatan moden dalam kehidupan.
Mereka yang ditemui Bernama di sini hari ini, rata-rata berkata ilmu perubatan moden, walaupun berbeza daripada amalan tradisional nenek moyang, adalah lebih berpotensi untuk menyelamatkan nyawa selain dapat mengelakkan penularan penyakit yang lebih teruk.
Murni Bahsetak, 28, dari suku kaum Semai berkata kepentingan mendapatkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan penjagaan bayi dan kanak-kanak yang betul, termasuk mendapatkan suntikan vaksin adalah perkara asas yang perlu ada dalam diri Orang Asli.
"Saya lihat di televisyen ada kisah ramai orang Asli meninggal dunia di Kelantan kerana demam campak. Kami diberitahu perkara itu boleh dielak jika awal jumpa doktor dan diberi vaksin. Saya harap kisah tersebut dijadikan pengajaran supaya tidak berulang," katanya.
Murni merupakan seorang daripada 33 peserta Kursus Asas Rawatan Kecemasan St John Ambulans Malaysia (SJAM) Pahang di sini, yang merupakan susulan daripada Kursus Latihan Asas Medik Orang Asli yang diadakan di Pos Lenjang pada 1 Mei lalu.
Latihan dua hari yang bermula semalam, merupakan usaha sama antara Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia di bawah program "Drs For All", Jabatan Kemajuan Orang Asli, Raleigh Malaysia, dan Impian Malaysia.
Bagi Jainah Bah Ar, 36, kursus yang dikendalikan dalam bahasa yang mudah difahaminya banyak memberi pengetahuan baru, termasuk dalam perkara yang sudah lama dihadapi seperti merawat luka.
"Kami diajar luka perlu dicuci, dikeringkan dan diletak antiseptik sebelum dibalut kain bersih. Kalau cara biasa, kami balut saja dengan kain tapi doktor tegur tindakan itu berisiko menyebabkan jangkitan kuman jika kain digunakan kotor.
"Orang tua-tua kami mungkin tidak tahu perkara itu kerana sudah terbiasa dengan rawatan sendiri. Malah masa dahulu, jika sakit dibawa jumpa pawang atau bomoh kerana lebih mudah dan dekat... jika sudah benar-benar teruk atau sudah tiada cara lain baharu dibawa ke hospital.
"Tapi itu dulu, sekarang kemudahan sudah ada. Malah di Pos Lenjang ada klinik desa dan doktor datang mengikut jadual untuk pemeriksaan kesihatan. Tidak lama lagi, akan ada Pos Medik yang dikendalikan kami sendiri, jadi penting untuk saya memahami apa yang diajar doktor di sini," katanya.
Sementara itu, Komander SJAM Pahang Dr Hew Kin Sun berkata latihan yang diajar meliputi rawatan asas kecemasan seperti bantuan Pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), luka, patah tulang, sawan, tercekik dan kecederaan akibat haiwan berbisa itu melibatkan teori dan praktikal serta latihan.
"Kursus ini hampir sama dengan apa yang dipelajari di Pos Lenjang dahulu, namun ia masih perlu dilakukan supaya mereka terus mengingati langkah demi langkah rawatan. Jika lama tidak dilakukan, kemahiran yang ada mungkin agak berkarat.
"Ini juga boleh dianggap sebagai ulang kaji sebelum peperiksaan kerana mereka perlu menghadapi ujian pada 6 Julai depan, dengan saya dan beberapa doktor lain sebagai pemeriksa akan masuk ke Pos Lenjang," katanya.
Dr Hew berkata beliau kagum dengan semangat 33 belia Orang Asli itu yang tidak ragu-ragu untuk bertanya jika ada perkara tidak difahami, selain aktif mengambil bahagian dalam latihan praktikal.
"Mereka mahu tunjukkan yang mereka masih ingat apa yang dipelajari dahulu. Cuma ada satu atau dua perkara yang perlu diperbaiki. Namun, saya memuji sikap mereka yang mahu belajar supaya generasi akan datang mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
#Hospital #kursus rawatan kesihatan #Orang Asli #penyakit #perubatan moden #Pos Lenjang #rawatan tradisional
;