Masyarakat masih tidak sedar bahaya wabak denggi

Astro Awani
November 11, 2013 13:20 MYT
Sebanyak 29,754 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 2 November, dengan peningkatan lebih 11,000 kes berbanding tahun 2012 yang mencatatkan 18,268 kes.
Perkembangan ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kerana denggi bukanlah satu wabak yang boleh dianggap enteng kerana mampu meragut nyawa.
Jumlah kumulatif kes kematian akibat demam denggi setakat ini meningkat 61 berbanding 32 kematian pada 2012.
409 lokaliti aktif wabak denggi dipantau di seluruh negara dan jumlah itu merupakan yang tertinggi pernah dilaporkan setakat ini. Daripada jumlah itu, 72 lokaliti berisiko dicatat di Selangor dan Pulau Pinang.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam, peningkatan kes demam denggi sukar dibendung kerana kurangnya kerjasama daripada masyarakat.
"Masalah di malaysia pengetahuan tentang cara jangkitan denggi dan cara macam mana penyakit ini merebak luas tidak dititik beratkan oleh rakyat.
"Kalau tiap-tiap rakyat malaysia boleh mengubah sikap, mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes. kita boleh berjaya di dalam usaha ini," kata Subramaniam.
Masyarakat seharusnya perlu sedar bahawa kawalan terhadap wabak maut ini bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan saja.
Mengulas lanjut mengenai wabak denggi ini, Ketua Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah menjelaskan bahawa bukan hanya kebersihan didalam dan diluar rumah perlu dititik beratkan sebaliknya kebersihan di tapak-tapak pembinaan juga perlu diambil berat.
"Di kawasan tapak pembinaan tidak kira yang masih aktif atau tidak aktif mungkin terdapat air bertakung yang boleh membiak nyamuk aedes," kata Dr Hayati ketika menjadi tetamu Awani 745 yang membincangkan tentang wabak denggi.
Ikuti video perbincangan beliau.
#denggi #Dr Hayati Abdullah #Ketua Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL