Masyarakat India tidak akan dibiarkan ketinggalan - TPM

Bernama
November 10, 2018 05:49 MYT
Dr Wan Azizah menerima kalungan bungai malai pada Rumah Terbuka Deepavali anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana, Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
Masyarakat India tidak akan dibiarkan ketinggalan kerana ia akan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat dalam negara menjadi tidak seimbang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata kerajaan memandang serius pelaksanaan agenda reformasi sosial demi memperjuangkan kesejahteraan seluruh rakyat yang memerlukan, termasuk kaum India agar tiada individu yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
"Kita komited untuk melakukan reformasi. Agenda Reformasi kita mencakupi pelbagai aspek khususnya di dalam pentadbiran kerajaan, sistem politik, ekonomi dan sosial," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada sambutan Rumah Terbuka Deepavali Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana, Ampang, dekat sini malam tadi.
"Pada pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11 oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), kerajaan tekad dan komited untuk melaksanakan agenda reformasi," tambahnya.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan sedar bahawa pelaksanaan agenda reformasi untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan negara akan mengambil masa, namun beliau yakin sokongan padu rakyat dan kesungguhan anggota pentadbiran kerajaan baharu akan menghasilkan natijah yang baik.
Bersempena sambutan Deepavali tahun ini, beliau berharap perayaan itu akan mengukuhkan lagi persaudaraan dan penyatuan seluruh rakyat.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan semangat murni dan kerjasama antara kaum mesti dipertahankan kerana ia menjadi tonggak kekuatan Malaysia sekaligus menjadi teladan dunia.
"Deepavali juga mengingatkan kita untuk membantu, memberikan sinar hidup kepada mereka yang kurang bernasib baik supaya tidak ada kumpulan yang dipinggirkan.
"Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan memperuntukkan RM100 juta dikhususkan untuk menyokong kaum India dalam Belanjawan 2019 dan peruntukan RM50 juta juga disediakan untuk pembangunan dan penambahbaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara," jelasnya.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah yang juga anggota Parlimen Pandan turut menyampaikan sumbangan barang keperluan harian dan wang tunai kepada 20 individu.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2019 #Deepavali #ekonomi #India #kerajaan #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Malaysia #politik #rakyat #reformasi #RMK11 #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Wan Azizah Wan Ismail
;