Masyarakat India perlu yakin Ponggal bawa kesejahteraan hidup - Dr Subramaniam

Bernama
Januari 14, 2016 07:43 MYT
Subramaniam berharap perayaan ini dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan melupakan perbezaan yang dihadapi. - Gambar hiasan
Masyarakat India perlu yakin kelahiran bulan 'Thai' dalam kalendar Tamil tahun ini akan membawa kesejahteraaan, mewujudkan kehidupan yang baik dan harmoni dalam kalangan komuniti Tamil di negara ini.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, dalam ucapan sempena perayaan Ponggal hari ini (Jumaat), berharap ekonomi dan taraf hidup masyarakat India juga dapat dimajukan lagi tahun ini.
"Sebagai permulaan perayaan ini, kita menyambut 'Bhoogi' pada hari ini di mana kita membakar segala barang-barang lama.
"Bersama adat itu, kita juga perlu menghindarkan tabiat, kelakuan dan pemikiran buruk bagi mengorak langkah ke hadapan untuk mencapai pembangunan yang lebih baik, " katanya.
Ponggal diraikan pada bulan ke-10 kalendar Tamil yang dikenali sebagai 'Thai Matham' bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.
Penganut agama Hindu juga percaya kedatangan bulan 'Thai' akan membawa tuah dan sinar harapan baharu supaya dapat hidup dalam keadaan tenang sepanjang tahun, selain dianggap sebagai hari kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi rezeki yang sempurna.
Menteri Kesihatan itu turut berharap perayaan ini dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan melupakan perbezaan yang dihadapi.
Dr Subramaniam berkata perayaan yang disambut bagi melahirkan kesyukuran atas nikmat yang dicurahkan itu perlu diinterpretasi oleh masyarakat India dalam konteks Malaysia di mana harus berterima kasih atas perpaduan dan keharmonian yang wujud di negara tercinta ini.
#Hindu #India #Ponggal #S Subramaniam #Tamil #Thai Matham
;