Masyarakat India perlu bersatu padu, perkukuh sektor ekonomi - Ramanan
Bernama
April 14, 2024 22:00 MYT
April 14, 2024 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat India perlu memperkasa dan memperkukuh diri dalam bidang ekonomi khususnya peniaga dan usahawan kecil dan sederhana.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata demikian dalam ucapan sempena Tahun Baharu Tamil, Hari Vaisakhi dan Tahun Baharu Vishu kepada semua masyarakat Tamil dan Sikh serta komuniti Malayalee.
"Saya seringkali menekankan aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat India di negara ini. Kita perlu bersatu padu. Kita perlukan kekuatan 'otrumai' (perpaduan) ini demi menjamin harapan dan membela nasib masyarakat India di negara ini.
"Seiring dengan proses pembangunan negara, masyarakat India juga perlu mara ke hadapan khususnya dalam bidang ekonomi. Justeru saya sedang mengusahakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat India memperkasakan diri mereka dalam bidang ekonomi," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Ramanan berkata ketika melancarkan Program Prosperity, Empowerment and a New Normal (PENN) semalam, beliau mendengar kisah-kisah kejayaan yang luar biasa wanita India yang berkerja keras dan bertungkus lumus untuk membina kejayaan.
"Hari ini mereka bergelar usahawan yang berjaya dan cemerlang. Tekad mereka mahu mara ke tahap yang lebih baik dan tinggi lagi, inilah juga harapan saya dalam mengusahakan inisiatif Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan program PENN. Kita perlu ada misi dan sasaran," katanya.
Semalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana khas RM50 juta bagi memperkasa usahawan wanita India menerusi program PENN yang memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baharu, menjadikan jumlah penerima manfaat kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada.
Ramanan berkata inisiatif AIM itu selaras dengan usaha merealisasikan hasrat dan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan tidak ada rakyat tercicir dalam usaha pembangunan negara.
Sementara itu beliau juga mendoakan semoga tahun ini akan terus membawa cahaya kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada mereka yang meraikan Tahun Baharu Tamil, Hari Vaisakhi dan Tahun Baharu Vishu.
"Saya juga mendoakan Malaysia akan terus melakar kejayaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
-- BERNAMA