Masyarakat India Muslim agen penyatuan Malaysia

Hilal Azmi
September 27, 2015 22:24 MYT
Masyarakat India Muslim menjadi komuniti penting di Malaysia sebagai agen perpaduan kaum di Malaysia.
Masyarakat India Muslim menjadi komuniti penting di Malaysia sebagai agen perpaduan kaum di Malaysia.
Bagi Penasihat Karnival Hari Keluarga India Muslim, Noorul Hassan Saul Hameed, keunikan budaya dan cara hidup yang diamalkan komuniti India Muslim wajar dijadikan contoh untuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
"Setakat ini masyarakat India Muslim bukanlah masyarakat yang fanatik perkauman kerana komuniti ini seharusnya dijadikan contoh masyarakat yang mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan," katanya kepada Astro Awani.
Tambah Noorul Hassan, perniagaan yang dijalankan komuniti India Muslim juga menjadikan mereka antara komuniti yang disegani dalam hal ekonomi.
"Selain mengamalkan ajaran Islam berlandaskan Al Quran dan hadis, kominiti India Muslim juga amat berdaya saing daripada segi perniagaan.
Karnival tersebut menarik kehadiran lebih 12,000 pengunjung. - Foto Astro AWANI
"Sebagai contoh di restoran, inilah tempat di mana semua kaum boleh tumpu. Tak sama dengan restoran yang diusahakan kaum-kaum tertentu. Inilah keunikan dan kemegahan malah menjadi kebanggaan kami supaya kami menjadi peneraju kepada hubungan silaturrahim dan muhibbah antara kaum," tambahnya.
Karnival Hari Keluarga India Muslim pertama kali diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Ahad.
Lebih 12,000 pengunjung hadir memeriahkan karnival tersebut yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keluarga dan hiburan.
#India Muslim #Noorul Hassan Saul Hameed
;