Masyarakat India di Gua Musang giat buat persiapan sambut Deepavali

Muhafandi Muhamad
November 3, 2021 09:42 MYT
Biarpun menyambutnya secara sederhana, pesta cahaya diraikan dalam suasana penuh kekeluargaan mengikut norma baharu. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Masyarakat India yang tinggal di kawasan Gua Musang, Kelantan giat membuat persiapan akhir bagi menyambut perayaan Deepavali Khamis ini.
Biarpun menyambutnya secara sederhana, pesta cahaya diraikan dalam suasana penuh kekeluargaan mengikut norma baharu.
Bagi keluarga R. Parimala yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, keluarganya merasai beban perbelanjaan dalam menyambut perayaan kali ini, susulan peningkatan kos sara hidup ketika pandemik COVID-19.
Katanya, perayaan tahun ini berbeza susulan kebenaran rentas negeri dibenarkan apabila mereka dapat menyambutnya bersama anak dan ahli keluarga lain.
"Persiapan kami ala kadar sahaja, harga barang juga naik. Kami ada simpan duit sikit untuk membeli baju baharu dan sebagainya. Kami tidak sabar tunggu anak-anak pulang," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk PPR Gua Musang, M Letchumanan, tahun ini sambutan lebih meriah selepas anak-anaknya berpeluang untuk melawatinya.
"Tahun ini rasa gembira sikit, anak-anak semua dapat datang, bolehlah duduk sekali. Dua tahun tidak balik., sekarang bolehlah. Esok balik, apabila mereka sampai, lagi meriah," katanya.
Dianggarkan 500 orang kaum India di daerah Gua Musang akan menyambut perayaan Deepavali, Khamis ini.
#Deepavali #kaum india #rentas negeri #meriah
;