Masyarakat Felda digesa terokai bidang baharu

Hafiz Marzukhi
November 14, 2017 19:47 MYT
Shahrir mahu masyarakat Felda terokai bidang baharu dan tidak hanya menyasarkan sektor komoditi. - Gambar fail.
Masyarakat Felda perlu bijak meneroka bidang baharu tanpa perlu bergantung kepada sektor komoditi semata-mata.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata penerokaan bidang baharu itu akan membantu menambah pendapatan isi rumah masyarakat Felda.
"Mereka tidak boleh lagi brgantung dan menumpukan kepada sektor komoditi tetapi perlu meneroka bidang lain.
"Sebagai contoh pelancongan. Saya lihat kawasan yang diduduki masyarakat Felda mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai tempat pelancongan," katanya selepas menghadiri Dialog TN50 bersama belia Felda di Menara Felda.
Tambah beliau, hasrat itu selari dengan rancangan 'Felda 2.0' yang diilhamkannya bagi merencana halatuju baharu golongan Felda.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkannya di Felda Lurah Bilut, Pahang pada Januari nanti," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penting bagi golongan belia dari Felda untuk menyahut seruan ini.
"Namun, perkara ini perlu digalas oleh mereka sendiri.
"Kerajaan akan membantu dari aspek lain tetapi kemahuan harus lahir dari diri mereka sendiri," kata Khairy.
#Felda #kerajaan #Khairy Jamaluddin #Menara Felda #Najib Razak #pelancongan #Perdana Menteri #shahrir samad #TN50
;