Masyarakat dunia perlu bersatu menentang keganasan - Najib
Hakim Rahman
Julai 2, 2016 17:44 MYT
Julai 2, 2016 17:44 MYT
Masyarakat dunia perlu bersatu menentang keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat gesaan itu berkata pengganas tidak boleh dibiar berleluasa hingga mewujudkan ketakutan dalam kalangan masyarakat dunia.
Seruan dibuat melalui akaun Facebook beliau dalam reaksi terhadap serangan bersenjata di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh pada awal Sabtu yang mengorbankan 20 nyawa orang awam terdiri daripada warga asing.
Menurut Najib, kerajaan seluruh dunia perlu meneliti setiap maklumat diperoleh dan dikongsi bersama semua agensi perisikan.
Keganasan tidak mengenal sempadan dan had, sebaliknya hanya mahu membawa kehancuran dan kemusnahan terhadap masyarakat serta meragut nyawa tidak berdosa.
Tambahnya, perbuatan keji dengan menggunakan nama Islam itu juga tidak lebih daripada cubaan mempersendakan agama.
Kata Najib, umat Islam sejati mesti menyangkal dan menolak tanpa syarat mereka yang mempersendakan agama.