Masyarakat dunia perlu bangkit, bukan hanya lihat kekejaman Israel - ABIM

Faida Rahim
September 23, 2023 18:29 MYT
Kelantangan Anwar sama sekali mewakili suara rakyat Malaysia untuk terus membela hak rakyat Palestin dan dunia perlu melihat ia sebagai isyarat untuk semua pihak termasuk PBB bertindak segera.- Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Masyarakat dunia perlu bangkit bersama menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan bukan hanya melihat hak asasi mereka dicabul rejim zionis Israel.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz memaklumkan pihaknya amat mengalukan kelantangan kenyataan negara disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York pada Jumaat mengenai konflik palestin.
"ABIM turut menegaskan seluruh dunia Islam, terutama negara Arab, untuk menghentikan sebarang bentuk usaha normalisasi hubungan diplomatik dengan Israel.
"Bagi kita usaha ini adalah satu kebiadaban ke atas umat Islam khususnya, seolah negara Islam merestui kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Tambahnya, kelantangan Anwar sama sekali mewakili suara rakyat Malaysia untuk terus membela hak rakyat Palestin dan dunia perlu melihat ia sebagai isyarat untuk semua pihak termasuk PBB bertindak segera.
Dalam pada itu, menyentuh isu menentang Islamofobia yang turut disampaikan Anwar semalam, Faisal menegaskan agama Islam merupakan agama berlandaskan keamanan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang tindakan ekstremisme yang menyimpang daripada ajaran sebenar.
"Kita bertanggungjawab dalam konteks dunia Islam bukan hanya menjelaskan mengenai Islam tetapi kita harus menonjolkan Islam yang sebenar yang bersifat Rahmah, Islam yang mempertahankan kebenaran di seluruh dunia sejagat.
"Ini termasuk isu xenofobia yang mana amat penting untuk terus disuarakan kerana ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab seolah-olah menghalalkan, dijadikan sebagai satu alat untuk untuk membenarkan kekejaman terhadap umat Islam," katanya.
#Palestin #PBB #rejim Zionis #Anwar Ibrahim
;