Masyarakat Dayak kehilangan pemimpin lantang seperti Masing

Alexandra Lorna
Oktober 31, 2021 15:34 MYT
Mendiang memperkasakan masyarakat Dayak dalam politik dan saling menghormati serta memastikan penyertaan mereka boleh membantu negara dan negeri. - Astro AWANI
KUCHING: Masyarakat Dayak kehilangan seorang pemimpin yang bersuara lantang dan sentiasa berjuang untuk kemajuan komuniti itu dalam semua aspek selepas pemergian Tan Sri James Jemut Masing.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mendiang juga disifatkan seorang pemimpin yang sentiasa menyokong kepentingan penyertaan masyarakat Dayak dalam kerajaan bagi memperkasa wakil komuniti itu.
"Mendiang memperkasakan masyarakat Dayak dalam politik dan saling menghormati serta memastikan penyertaan mereka boleh membantu negara dan negeri.
"Mendiang juga menjadi suara yang tidak dapat dipertikaikan bagi penduduk luar bandar dan seorang yang penuh keazaman tinggi, dedikasi serta rasa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat Sarawak terutama di pedalaman," katanya.
Turut menyatakan pandangan sama, Presiden Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing yang menyifatkan Sarawak kehilangan pemimpin Dayak yang berjiwa rakyat.
“Saya berasa amat terkejut dan sedih atas pemergian Masing yang juga rakan seperjuangan saya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hospital swasta di Kuching pagi tadi.
“Beliau merupakan salah seorang pemimpin yang hebat, seorang pejuang yang bersemangat untuk negeri kita, budaya kita, hak kita, dan kesejahteraan rakyat,” luah King Sing. dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Tiong berkata beliau amat bertuah kerana telah menjadi seorang rakan dan juga rakan seperjuangan Masing.
“Saya akan mengenang kembali perjuangan kami bersama serta beliau juga telah berkongsi pemikiran dan kebijaksanaan beliau. Di sebalik perbezaan kami pada masa lalu, kami masih boleh mengharapkan sokongan satu sama lain untuk memperjuangkan apa yang kami fikirkan demi kepentingan yang terbaik untuk Sarawak.
#Masing lantang #hak Sarawak #James Jemut Masing #Masyarakat Dayak
;