Masyarakat Cina anak Malaysia, bukan pendatang - Najib

Mariah Ahmad
Oktober 18, 2015 15:34 MYT
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalaman dengan para perwakilan Gerakan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-44 - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini mengingatkan masyarakat Cina negara ini bahawa mereka bukanlah pendatang bahkan sebahagian daripada keluarga masyarakat Malaysia.
Beliau menyifatkan masyarakat berketurunan Cina banyak memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
"Sebab itu anda bukan pendatang. Anda adalah anak watan. Anda dilahirkan di sini, membesar di sini, dan apabila tiba masanya, apabila anda meninggal dunia, anda akan dikebumikan di sini," katanya.
"Itulah kenyataannya. Kita berada di sini sebagai rakyat Malaysia," jelas Najib dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan di sini hari ini.
Kira-kira 1,600 perwakilan menghadiri persidangan itu termasuk bekas presiden parti itu, Tan Sri Koh Tsu Koon.
Dalam pada itu, Najib turut menekankan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara selain China dan Taiwan yang membenarkan pembangunan sekolah-sekolah Cina.
Beliau juga mengulangi pendidikan Cina di negara ini akan terus wujud berdasarkan haknya yang dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelas Najib, biarpun dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular, beliau menegaskan adalah penting bagi rakyat Malaysia yang berbilang bangsa untuk mencapai satu perpaduan dan kerjasama yang utuh.
"Ia akan menjadi cabaran yang besar, ia tidak mudah namun saya percaya kita semua mesti bersatu padu di bawah satu bumbung," katanya.
Masyarakat cina di Malaysia bukan pendatang – Najib Razak
#GERAKAN #Koh Tsu Koon #Najib Razak #Perdana Menteri
;