Masyarakat bukan Islam sertai iftar di surau Seberang Jaya

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 25, 2019 06:35 MYT
Surau boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Buat pertama kalinya, Surau Sutera Prima di Seberang Jaya, Pulau Pinang menganjurkan Majlis Iftar bersama masyarakat bukan Islam yang menetap di kawasan perumahan berkenaan.
Walaupun majlis yang dianjurkan Jawatankuasa Kariah Surau berkenaan ringkas dan sederhana, namun sambutannya tetap meriah apabila dihadiri masyarakat berbilang bangsa.
Bagi ahli perniagaan, Zeon Cheong, dia gembira menerima jemputan daripada pihak surau yang menganjurkan program 'Surau Terbuka' dan juga majlis berbuka puasa yang pastinya memberikan pengalaman baru buat dirinya.
Jelasnya, inisiatif yang diambil pihak surau menganjurkan program dengan meraikan orang bukan Islam patut dicontohi serta diperbanyakkan pada masa akan datang.
Ia bagi memberi kefahaman tentang Islam sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim
"Ini merupakan kali pertama saya ke surau di Malaysia. Semasa saya berada di luar negara, saya pernah memasuki masjid untuk melihat sendiri bagaimana orang Islam beribadat dan berbuka.
"Tapi ini kali pertama saya diundang untuk sama-sama menikmati juadah berbuka puasa. Saya sangat gembira kerana ini caranya kita harus gambarkan masyarakat negara ini," kata Zeon.
Tambahnya walaupun dia telah menetap di kawasan itu lebih dari 10 tahun, ini kali pertama dia berkunjung ke surau tersebut dan ia sangat mengembirakan.
Turut merasai pengalaman baharu, Amanda Miller dari Amerika Syarikat yang mengakui pengalaman menjejakan kaki ke surau itu sesuatu yang baharu serta menyeronokkan.
Ujarnya, melalui program tersebut dia dapat mengenali budaya dan agama Islam dengan lebih dekat khususnya pada bulan Ramadan.
"Saya baru sahaja tiba di Malaysia dan dibawa ke sini oleh rakan saya.
"Di sini, saya dapat pelajari apakah itu Islam dan saya rasakan ia sangat indah," jelas Amanda.
Sementara itu, Pengerusi Kariah Surau Sutera Prima, Khairul Anuar Ishak berkata, penganjuran program berkenaan adalah satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya dalam usaha membuka minda bahawa tempat beribadat itu bukan untuk umat Islam semata-mata.
Jelasnya surau boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama selagi ia tidak bercanggah atau bertentangan dengan syariat Islam.
"Kami telah mempelawa seramai 20 keluarga yang menetap berdekatan dengan surau ini dan sambutan sangat menggalakkan.
"Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk mendedahkan bahawa Islam itu adalah untuk semua. Sesiapa sahaja yang ada masalah dari segi kewangan atau makanan, boleh kunjungi mana-mana surau bagi mendapatkan bantuan," kata Khairul.
Pada program tersebut, tetamu bukan Islam dibawa melawat ke dalam surau, selain diberikan penerangan mengenai cara berwuduk, memakai tudung dan telekung serta solat.
Mereka kemudian turut menyertai Majlis Berbuka Puasa dengan penduduk beragama Islam di kawasan sekitar.
#Amanda Miller #iftar #Islam #jendela ramadan #Khairul Anuar #ramadan 1440 #ramadanawani1440 #surau #Surau Sutera #surau terbuka #Zeon Cheong
;