Masyarakat bukan Islam Sarawak juga rindu bazar Ramadan
Astro Awani
April 25, 2020 07:01 MYT
April 25, 2020 07:01 MYT
Ketiadaan kemeriahan bazar Ramadan ekoran penularan COVID-19 di seluruh dunia sememangnya dirasai.
Bukan sahaja bagi masyarakat beragama Islam, malah turut dirasai komuniti bukan Islam, lebih-lebih lagi di Sarawak.
Tradisi bazar Ramadan di sini bukan sahaja menghimpunkan pelbagai jenis juadah yang unik malah sudah menjadi medan mengeratkan silaturahim masyarakat pelbagai bangsa dan agama.
Biarpun kini platform digital menerusi e-bazar diwujudkan namun kemeriahannya tetap berbeza dan rata-rata warga Bumi Kenyalang yang ditemui mengharapkan agar suasana kembali seperti sediakala.
Bagi Martino Unjan Mohamaddin, sambutan bulan Ramadan yang diserikan dengan kemeriahan bazar sentiasa dinanti-nantikan namun dia akur dengan situasi ketika ini.
“Apabila tiba bulan Ramadan, pastinya ada pelbagai jenis kuih-muih yang hanya dijual di bulan mulia ini dan kuih-kuih ini yang saya nantikan.
“Tetapi untuk tahun ini, tidak mengapa kerana kita perlu sama-sama pastikan virus ini dapat dihapuskan sepenuhnya,” ujarnya.
Seterusnya bagi seorang peniaga Pamela Grace Vincent yang ditemui berkata, sebagai seorang pengunjung tegar bazar Ramadan, pastinya tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.
“Setiap tahun saya mengunjungi bazar Ramadan dan tahun ini sangat berbeza daripada tahun sebelumnya dan sunyi.
“Sama-samalah kita berdoa agar keadaan kembali pulih seperti dahulu dan semoga Ramadan tahun ini tetap meriah bagi semua umat Islam yang meraikannya,” tambah Pamela.
Sementara bagi seorang pekerja swasta, Mercy Jane Watt Gerunsin, biarpun tiada kemeriahan bazar Ramadan, platform e-bazar juga boleh digunakan sebaiknya untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Kemeriah Ramadan bukan terletak kepada kepelbagaian juadah di bazar semata-mata, malah kita boleh mencipta kemeriahan itu.
“Dengan adanya platform dalam talian seperti e-bazar, kita tetap boleh membantu peniaga untuk memasarkan produk mereka cuma kaedahnya berbezalah,” katanya ketika ditemui di Kuching.
Kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada 23 April menetapkan peniaga makanan di Sarawak yang ingin beroperasi sepanjang bulan Ramadan hanya dibenarkan untuk berbuat demikian secara dalam talian melalui e-bazar.
Bagaimanapun kesemua operasi ini hanya terhad daripada jam 7 pagi sehingga 7 petang.
#AWANI Sarawak
#Bazar Ramadan
#COVID-19
#dalam talian
#digital
#e-bazar
#JPBN Sarawak
#Kuching
#kuih-muih
#majmuk
#makanan
#peniaga
#PKP
#Rindu Ramadan
#Sarawak
#silaturahim
#sunyi
#tradisi