MASwings tambah jumlah penerbangan sempena sambutan Hari Gawai
Shafik Ahmad
Mei 23, 2022 17:36 MYT
Mei 23, 2022 17:36 MYT
MIRI: Syarikat penerbangan MASwings akan menambah satu penerbangan setiap hari melibatkan perjalanan Kuching-Miri dan Kuching-Limbang berkuat kuasa 27 Mei hingga 7 Jun depan.
Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang Hari Gawai dan cuti persekolahan penggal pertama tahun ini.
Peralihan ke fasa endemik katanya, turut mempengaruhi jumlah permintaan berbanding tahun sebelum ini selain pembukaan sempadan negara.
“Perkhidmatan tambahan ini akan dikendalikan untuk pesawat MASwings ATR72 500 dan kami berbesar hati untuk menawarkan “Tawaran Harvest Fiesta” bermula dari kadar serendah RM139 untuk tiket semua-dalam-sehala termasuk cukai dan daftar masuk bagasi 20 kilogram (kg).
"MASwings amat berterima kasih kepada sokongan berterusan yang diterima daripada pelanggannya, penduduk tempatan serta pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagi laluan Kuching-Limbang ialah tiga kali seminggu, ditambah kepada kekerapan tujuh kali penerbangan sepanjang tempoh 27 Mei hingga 7 Jun 2022.
Sementara bagi penerbangan Miri-Limbang dengan kekerapan empat kali sehari atau 28 kali seminggu akan menerima tambahan 12 penerbangan untuk tempoh sama.
Tambahnya lagi, semua tambang yang dikenakan adalah termasuk 20 kg bagasi dan minuman ringan, sebagai tanda penghargaan mereka dalam menawarkan perkhidmatan kepada penumpang.
Sebagai syarikat penerbangan untuk Sabah dan Sarawak, MASwings katanya sentiasa mencari peluang untuk menyediakan tambang mampu milik terbaik.
Maklumat penerbangan tambahan boleh ditempah melalui laman web MASwings atau Malaysia Airlines serta pejabat tiket dan ejen pelancongan yang dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk membantu penumpang dalam sebarang permintaan perjalanan segera.