Maswings MH3413, pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Mukah yang baharu

Lynch Cowan
Jun 17, 2021 16:41 MYT
Pesawat jenis Twin Otter milik syarikat penerbangan Maswing dengan nombor MH3412 dari Kuching ke Mukah menjadi penerbangan pertama yang mendarat di Lapangan Terbang Mukah. - Gambar Astro AWANI
MUKAH: Sarawak melakar sejarah apabila Lapangan Terbang Mukah yang baharu dibuka secara rasminya hari ini.
Pesawat jenis Twin Otter milik syarikat penerbangan Maswing dengan nombor MH3412 dari Kuching ke Mukah menjadi penerbangan pertama yang mendarat di lapangan terbang itu.
Pesawat itu yang membawa empat penumpang termasuk dua juruterbang selamat mendarat di Mukah pada pukul 10 pagi Khamis.
Juruterbang Kapten Terence Lee yang berkongsi pengalamannya menyuarakan rasa teruja apabila dia bersama rakan sekerja ditugaskan untuk penerbangan bersejarah itu.
“Hari ini merupakan hari pertama lapangan terbang ini beroperasi dan juga penerbangan yang pertama dari Kuching ke Mukah menggunakan lapangan terbang baharu ini.
“Segala persiapan telah kami lakukan sebelum bertolak agar selamat mendarat, dan syukur pagi ini penerbangan kami berjalan dengan lancar dari destinasi pertama ke Mukah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.
Lapangan Terbang Mukah baharu itu dibuka secara rasmi selepas mencapai kejayaan dalam percubaan kesediaan operasi dan pemindahan lapangan terbang (ORAT) pada bulan lalu.
Lapangan terbang yang bernilai RM360 juta itu turut akan menggantikan semua fungsi terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) yang digunakan sebelum ini.
Sementara itu, penduduk Mukah, Aaron Benjamin juga bersyukur kerana setelah sekian lama menggunakan lapangan terbang lama, akhirnya penduduk di situ memiliki lapangan terbang yang baharu dan jauh lebih selesa serta moden.
“Apabila menjejak kaki di lapangan terbang yang baharu ini, saya berasa sangat puas hati. Dengan fasiliti yang cukup dan moden berbanding yang lama memudahkan urusan penerbangan saya berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Bagi seorang guru, Silvia Hentap yang berkhidmat di daerah berkenaan, dia turut berharap kemudahan yang ada itu dapat memudahkan urusannya pulang ke kampung halaman dari tempat bertugas serta merancakkan aktiviti ekonomi di daerah berkenaan.
“Harap dengan adanya fasiliti ini dapat memudahkan urusan seperti mereka yang berkhidmat di daerah ini dan juga merancakkan lagi sosioekonomi penduduk seperti melawat ke tempat yang menarik di daerah ini,” katanya.
Untuk rekod, terminal baharu itu mampu menampung sehingga 200 penumpang pada satu-satu masa berbanding STOLport yang dahulunya hanya mampu mengendalikan 67 penumpang sahaja.
Dengan keluasan 3,120 meter persegi, terminal baharu itu mampu menampung 264,000 penumpang setahun.
Lapangan terbang itu turut memiliki landasan baharu sepanjang 1.5 kilometer (km) yang mana jarak terbabit sesuai untuk operasi turboprop dan helikopter.
Lapangan terbang tersebut turut mempunyai jadual penerbangan dari Mukah dan juga ke Miri.
#Lapangan Terbang Mukah baharu #Sarawak #MH3412 #MASWings
;