Masukkan pandangan, dapatan MCA dalam kajian mengenai Malaysia - Liow

Bernama
Oktober 17, 2016 08:00 MYT
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata maklumat tentang masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang digunakan dalam kajian sebelum ini masih belum lengkap. - Astro AWANI / Syamim Hasni / Fail
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sepatutnya lebih banyak pandangan dan dapatan hasil kajian parti itu dimasukkan dalam penyelidikan mengenai pembangunan dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini oleh cendekiawan tempatan dan asing serta universiti.
Beliau berkata banyak kajian telah dijalankan mengenai pembangunan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, tetapi pihak berkenaan jarang mendapatkan input daripada MCA.
Sehubungan itu, beliau berharap pertukaran maklumat akan diberi perhatian utama dalam usahasama yang dijalin antara Sekolah Pengajian Politik MCA dan Universiti Huaqiao, China.
"Kami menyediakan buku-buku rujukan dan bahan-bahan MCA kepada universiti untuk membantu pelajar dan ahli akademik dalam pengajian mereka (mengenai subjek relevan)," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, di sini hari ini.
Beliau mengambil perhatian bahawa maklumat tentang masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang digunakan dalam kajian sebelum ini masih belum lengkap.
Sementara itu, Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang, yang hadir pada majlis itu, mengalu-alukan usaha MCA untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan China, termasuk dalam ekonomi. --BERNAMA
#Datuk Seri Liow Tiong Lai #hasil kajian #Presiden MCA #Sekolah Pengajian Politik MCA #universiti
;