Masjid, surau di Perak disaran utamakan imam tempatan untuk solat tarawih

Bernama
Februari 27, 2025 16:02 MYT
Namun, Perak tidak menetapkan rakaat tertentu untuk solat sunat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri. - Gambar fail
IPOH: Masjid dan surau di Perak amat digalakkan supaya mengutamakan imam tempatan walaupun lazimnya terdapat imam asing termasuk dari Arab Saudi yang dijemput untuk mengimamkan solat tarawih.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata imam luar yang dijemput sepanjang Ramadan di negeri ini bagaimanapun perlu mendapatkan tauliah terlebih dahulu.
"Umpamanya kita utamakan barangan tempatan. Pelajar tahfiz ramai, tetapi bila Ramadan, kita ambil imam asing. Kita faham sebelum ini ada masjid yang jemput untuk tiga hari misalnya imam asing, tetapi perlu mohon dan dapat tauliah daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah," katanya pada sidang media pengumuman kadar zakat fitrah negeri Perak bagi 1446H/2025M dan pelancaran aplikasi MAIPk Bestari di sini hari ini.
Terdahulu, Selangor dan Terengganu dilaporkan tidak membenarkan imam dari luar negara sepanjang Ramadan, dengan masjid dan surau di negeri berkenaan digalakkan menggunakan khidmat pelajar tahfiz atau huffaz tempatan bagi mengimamkan solat tarawih.
Dalam pada itu, Annuar berkata Perak tidak menetapkan rakaat tertentu untuk solat sunat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri.
Beliau berkata mengikut amalan biasa, masjid negeri dan daerah melaksanakan 20 rakaat, manakala bagi masjid dan surau yang lain adalah mengikut pertimbangan jawatankuasa serta ahli-ahli kariah.
Sebelum ini Pahang menetapkan solat tarawih 20 rakaat dengan tiga rakaat witir dua salam di seluruh masjid dan surau pada Ramadan ini.
-- BERNAMA
#Cerita Ramadan 2025 #Ramadan #Imam Solat Tarawih #solat tarawih
;