Masjid, surau bukan tempat sebar dakyah songsang - Sultan Nazrin

Abd Razak Mohd Ali
Februari 25, 2025 11:10 MYT
Sultan Nazrin bertitah pada majlis perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di Ipoh, pada Selasa. - Gambar Bernama
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan teguran terhadap mereka yang menyalahgunakan masjid dan surau bagi menyebarkan dakyah berbaur fitnah serta kepentingan politik kepartian.
Baginda bertitah, kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan mereka yang merasakan diri telah bertaraf ilmuwan atau ulama; semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang.
“Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.
“Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah,” titah baginda pada majlis perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini, hari ini.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Muzakarah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf’ itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Sultan Nazrin bertitah, baginda telah disembah maklum sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.
Menurut baginda, perbuatan sedemikian sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan.
“Perbuatan sebegini sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan.
“Berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah,” tambah baginda.
Titah Sultan Nazrin, khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh baginda setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan.
Sehubungan itu, baginda mahu pihak berkuasa agama bersama Orang Besar Jajahan, jawatankuasa masjid dan surau serta ahli kariah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti mereka yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang.
Baginda mahu pihak berkuasa yang berkenaan, melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja.
Sultan Nazrin juga mahu, penemuan dan ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya beserta perakuan untuk pertimbangan baginda sewajarnya.
#Sultan Nazrin Shah #salah guna masjid #kepentingan politik #Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
;