Masjid sebagai pemangkin ummah sejahtera - Tuanku Muhriz
Bernama
Oktober 18, 2021 06:31 MYT
Oktober 18, 2021 06:31 MYT
SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah pemegang amanah bertanggungjawab menguruskan masjid dan surau di negeri ini wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama rumah ibadat itu sebagai institusi menyatupadukan ummah.
Baginda bertitah masjid dan surau adalah institusi yang wajib dimuliakan, diimarahkan dan dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.
Titah baginda ahli jawatankuasa hendaklah sentiasa melindungi masjid dan surau daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh pecah-belahkan ahli kariah seperti aktiviti berpolitik atau melakukan perkara bercanggah dengan syarak.
"Setiap individu yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah, hendaklah sentiasa bersifat tegas dan bijaksana, tanpa membenarkan diri dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana pihak," titah bagindan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan malam tadi.
Tuanku Muhriz turut bertitah bahawa Islam adalah agama yang mendasari segala aspek kehidupan seiring dalam apa jua perubahan keadaan dan peredaran zaman.
"Norma baharu kaedah beribadah ketika menghadapi pandemik, adalah contoh menggambarkan Islam memahami realiti suasana tanpa menafikan kesempurnaan pelaksanaan ibadah seseorang muslim," titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah kerajaan negeri perlu terus memainkan peranan mentadbir dengan baik dan menyejahterakan rakyat di negeri ini dengan inisiatif peduli rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama atau politik.
Baginda bertitah kekayaan dan kemakmuran negeri haruslah dinikmati oleh sekalian rakyat di negeri ini tanpa ada golongan yang tercicir.
"Beta berasa sukacita dengan hasil Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sedang berjalan ketika ini. Usaha sebegini tidak akan terhasil tanpa peranan, komitmen serta dedikasi ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir," titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, para penjawat awam dan syarikat swasta yang berganding bahu memulihkan dan membangunkan semula negeri ini.
Baginda turut memuji usaha murni semua pihak terlibat dalam menangani wabak COVID-19, terutama kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera, sukarelawan peringkat akar umbi di daerah, bandar dan mukim di negeri ini.
Justeru, baginda bertitah seluruh rakyat di negeri ini lebih bersikap prihatin dan membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan pandemik COVID-19.
Sementara itu, susulan pelajar di negeri ini telah kembali ke sekolah secara bersemuka, Tuanku Muhriz bertitah semua pelan persediaan pelaksanaan operasi institusi pendidikan perlulah dipatuhi dengan baik.
"Semua pihak yang terlibat hendaklah juga memainkan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pendidikan formal dan tidak formal anak-anak di negeri ini dalam usaha membentuk akhlak serta jati diri yang luhur, sentiasa diutamakan," titah baginda.
-- BERNAMA