Masjid Negara sambut baik kebenaran berjemaah ikut kapasiti namun jemaah diingatkan patuhi SOP
Eton Khir
Oktober 1, 2021 15:20 MYT
Oktober 1, 2021 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Masjid Negara menyambut baik ketetapan yang memperuntukkan jumlah jemaah yang dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu, solat berjemaah dan aktiviti pengimrahan lain yang bermula hari ini.
Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni berharap kebenaran ini akan berterusan selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan.
"Kita mengharapkan bahawa dengan penambahan kapasiti jumlah jemaah di surau dan semua masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan memberikan sinar harapan kepada para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat khususnya dan solat-solat fardu yang lain," katanya ketika ditemui di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau berkata, tiada jaminan inisiatif ini dapat dikekalkan walaupun berlaku penurunan sumlah kes kebelakangan ini dan berharap jemaah yang hadir dapat terus mematuhi prosedur operasi Standard (SOP) yang telah diteteapkan.
"Hendaklah kita mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan terutamanya melaui Majlis Kesihatan Negara (MKN) dengan menjaga penjarakan fizikal kita dan juga memakai pelitup muka.
"Tidak hanya itu, kita juga perlu sentiasa mensanitasi ataupun membasuh tangan dengan sabun. Mungkin inilah ikhtiar dan usaha kita ketika ini. Apa yang kemudian terjadi kepada kita dalam kehidupan itu adalah ketentuan Allah S.W.T.," katanya lagi.
Buat masa ini, kapasiti penuh di Masjid Negara selepas dinaiktaraf mampu menampung sehingga 1,500 orang jemaah pada satu-satu masa dengan pematuhan SOP.
Sementara itu, rata-rata jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara berharap agar semua yang hadir ke masjid mahupun surau dapat mematuhi SOP ditetapkan.
Bagi Syed Shahrul Azlan Syed Amran, 36, dia sangat bersyukur dengan pelaksanaan kebenaran oleh kerajaan.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana telah membenarkan seluruh umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan juga solat berjemaah di masjid dan ini sebenarnya telah memberi satu gambaran bahawa negara kita mungkin telah kurang dari sudut ancaman COVID-19.
"Cumanya kita kena berhati-hati kerana COVID-19 ini boleh menular semula dan kita kena ikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Jangan bila kita telah diberi kebenaran kita lupa SOP," katanya.
Manakala, bagi Khairul Wasiril Arafat Anuar, 32, dia berharap agar para semua jemaah yang hadir masjid atau surau untuk tidak alpa soal keselamatan dan SOP yang telah ditetapkan.
"Saya rasa memang baguslah dengan inisiatif kerajaan sekarang ini dengan orang ramai boleh gunakan kapasiti penuh (dengan SOP penjarakan) untuk masjid dan surau.
"Ini kerana sememangnya apa yang kita mahu selain itu kerana ingin situasi atau keadaan kembali menjadi normal serta diharap bagi yang hadir ke masjid atau surau tetaplah menjaga SOP, kerana khuatir jangkitan ini kembali semula," katanya.
Tidak hanya itu, bagi Mohd Tahir Hamid, 57, pula ianya adalah satu tindakan yang sangat membantu dan memudahkan urusan ibadah kepada orang ramai khususnya mereka yang bermusafir.
"Pada saya ini baguslah apabila masjid atau surau telah kembali kepada kapasiti penuh. Ia sememangnya adalah satu inisiatif yang bagus kepada umat Islam khususnya kepada mereka yang bermusafir ingin solat di masjid.
"Mungkin keadaan belum menjadi seperti sedia kala tetapi ia sedikit sebanyak untuk membantu dan memudahkan urusan ibadat umat Islam yang ingin bersolat," katanya.