Masjid Kampung Laut dipindah ke lokasi asal

Muhafandi Muhamad
September 14, 2020 07:39 MYT
Dibina pada abad ke-18, Masjid Kampung Laut ini telah terselamat daripada dua banjir besar iaitu pada 1926 dan 1966 sebelum ia dipindahkan daripada Tumpat ke lokasinya sekarang di Nilam Puri. --fotoBERNAMA
Masjid bersejarah yang terselamat dari dua bencana banjir besar akan dipindahkan ke lokasi asalnya sebagai khazanah warisan Kelantan serta tarikan pelancongan.
Masjid Kampung Laut yang dibina berasaskan kayu cengal serta menggunakan pasak dianggarkan berusia 300 tahun merupakan antara masjid tertua di Malaysia.
Sebelum ini ia terletak di Kampung Laut, Tumpat namun dipindahkan ke Nilam Puri, di sini selepas tapak asalnya ditenggelami air.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menjelaskan, urusan dan perbelanjaan pemuliharaan warisan ini dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Kita bawa balik semula Masjid Kampung Laut ini yang penuh bersejarah ke tempat asalnya walaupun tapak asal sebenar berada dalam sungai, tetapi berdekatan, kerana disebut-sebut, sekiranya tidak bawa ke tempat asal, kita tak boleh rekod sebagai heritage (tapak warisan) bagi UNESCO.
"Warisan ni sangat berharga dan mungkin rujukan telah dibuat oleh pengkaji dan pereka berasaskan masjid ini,” katanya.
Projek pemindahan Masjid Kampung Laut yang terkenal sebagai binaan bersejarah oleh UNESCO dan pereka binaan dijangka memakan belanja RM2 juta merangkumi kos pemuliharaan dan bina semula.
Masjid Kampung Laut dipercayai dibina pada abad ke-18, dan terselamat dari dua banjir besar pada tahun 1926 dan 1966.
Reka bentuk binaan Masjid Kampung Laut tidak lagi dapat dilihat kerana itulah ia perlu dipelihara sebagai warisan berharga negeri Kelantan.
Masjid ini masih digunakan untuk beribadat dan kekal utuh dengan binaan kayu yang bernilai tinggi.
Ia sudah berada di Nilam Puri sejak lebih 40 tahun lalu sebelum kerja pemindahan dilakukan bermula bulan ini dengan jangkaan siap dipindahkan Januari 2022.
#Ahmad Yakob #air #banjir #ECER #ECERDC #ekonomi #kayu cengal #kerajaan #Khazanah #Malaysia #Masjid Kampung Laut #masjid tertua #menteri #Menteri Besar #Nilam Puri #Pantai Timur #pelancongan #pindah #selamat #Tumpat #Unesco #Warisan
;