Masjid India, Jalan TAR terus dikunjungi

Bernama
Ogos 7, 2013 22:18 MYT
Meskipun hari raya semakin hampir dan ramai penduduk kota sudah pulang ke kampung, aktiviti jualan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di sini tetap meriah.
Masih terdapat ramai pembeli di saat-saat akhir yang mencari barangan keperluan raya, dan ada pula yang "window shopping", memandangkan kawasan syurga membeli-belah ini kurang sesak berbanding sebelum ini.
Peniaga di kedua-dua kawasan didapati menurunkan harga barangan antara 50 peratus hingga 70 peratus bagi menghabiskan stok barangan.
Bagi Noor Hida Wahi, 32, beliau memang membuat persiapan di saat-saat akhir kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan orang ramai, apatah lagi selepas menempuh perjalanan sejauh 24 kilometer untuk ke situ dari Shah Alam, Selangor.
"Sukar untuk buat pilihan bila terlalu ramai terutamanya saya datang bersama dua anak kecil. Bimbang jika anak hilang kerana kadang-kala kita boleh jadi leka semasa sibuk pilih barang," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini hari ini.
Selain membeli-belah dalam suasana selesa, faktor harga runtuh turut menyebabkan segelintir orang awam menunggu sehingga hari terakhir Ramadan dengan harapan untuk mendapat potongan harga.
Pasangan muda Salimi Majani, 27, dan isteri Shahida Mukti, 25, yang akan pulang berhari raya di Sik, Kedah pada petang ini memberitahu hanya akan membeli baju Melayu dan baju kurung moden pada hari ini, meskipun telah membuat tinjauan di beberapa kedai sebanyak tiga kali dalam bulan puasa.
"Sebelum ini kami datang untuk melihat baju jenis bagaimana yang akan dibeli dan buat perbandingan harga. Pada hari-hari terakhir, banyak kedai mula turunkan harga dan baju kurung moden yang saya minat dahulunya RM180 kini dijual pada harga RM80," kata Shahida.
Perkara sama turut dikongsi oleh anak jati Pekan, Pahang, Zulhanafi Zulkifli, 26, yang lazimnya memperuntukkan RM100 bagi membuat persiapan raya, dan katanya jumlah itu lebih daripada mencukupi jika pandai mencari kedai pada saat-saat akhir.
Tambahnya, pembelian terbaik beliau hari ini ialah samping berharga RM20 untuk dipadankan dengan baju Melayu tahun lepas yang masih elok, menyebabkan beliau akan membelanjakan baki wang untuk membeli kuih-muih sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke kampung.
Bagaimanapun kakitangan awam, Aishah Ismail, 32, dan suami Kamalruzi Zainal, 39, menyifatkan 'terpaksa' membuat persiapan agak lewat kerana cuti raya mereka hanya bermula hari ini.
"Setiap tahun kami memang akan ke sini untuk buat persiapan. Cuma tahun ini program beli-belah bermula lewat dan kami akan terus pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka selesai dapat semua pakaian raya," katanya.
Suri rumah Halimah Abdul Wahab, 53, yang ditemui di Jalan Masjid India berkata beliau membuat persiapan pada saat-saat akhir kerana menunggu dua daripada empat anaknya bercuti.
"Bukan mudah nak kumpulkan semua kerana kerja anak-anak mengikut syif. Mereka dapat cuti hari ini dan sebab itu datang hari ini kerana kami akan berpakaian warna sama di pagi raya," katanya yang akan pulang ke Kota Baharu, Kelantan.
Sementara itu, guru Shaleena Norshal, 36, pula memberitahu beliau membuat persiapan saat-saat akhir tahun ini kerana hanya akan pulang ke kampung pada awal pagi Aidilfitri.
"Lebih mudah begini, sebab tak ada orang. Bertolak jam 7 pagi lebih baik kerana jalan lenggang dan saya pula hanya beraya di Melaka, tak berapa jauh jaraknya," katanya.
Penuntut institusi pengajian tinggi awam, Nur Balqis Muhammad, 22, membeli persiapan raya di kala saat akhir kerana tergoda dengan potongan harga yang ditawarkan peniaga.
"Setiap tahun saya akan membeli persiapan raya pada akhir ramadan, ini kerana peniaga sering mengadakan promosi potongan harga yang rendah berbanding pada awal bulan. Baju kurung yang dulu nilainya mencecah RM180 kini boleh dibeli dengan harga RM80 sahaja," katanya.
Ku Mazarita Ku Mansor, 28, yang menetap di Johor dan akan pulang ke kampung halamannya di Teluk Intan, Perak sanggup menempuh kesesakan jalan raya untuk ke Jalan TAR bagi membeli persiapan raya pada saat akhir.
"Sudah menjadi kebiasaan untuk pergi ke sini pada akhir Ramadan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah dan ada seribu macam pilihan ditawarkan," katanya.
Seorang peniaga jubah, Muhamad Sani Mazwar, 33, yang sudah 10 tahun berniaga di sini berkata beliau mula membuat promosi turun harga sebanyak 50 peratus bermula hari ini hingga malam raya.
"Sejak awal Ramadan sehingga ke hari ini saya telah menjual lebih daripada 600 pasang jubah dan berbaki 100 pasang lagi," katanya.
Salina Aibadillah, 36, yang berniaga kuih raya berkata dia menawarkan harga lelong kepada orang ramai dan promosi ini akan dikekalkan sampai ke malam raya.
"Pengunjung boleh membeli kuih raya dengan harga RM10 sahaja satu balang. Terdapat pelbagai jenis kuih raya yang ada disini antaranya Almond London, Tart Nanas, Semperit, Makmur dan sebagainya," katanya.
#Aidilfitri
;