Masing pemimpin lantang suarakan hak Sabah dan Sarawak - Jeffrey Kitingan
Eleanor Michelle Patrick
November 2, 2021 20:16 MYT
November 2, 2021 20:16 MYT
KOTA KINABALU: Pemergian Tan Sri James Masing satu kehilangan besar buat negara, Sarawak dan juga masyarakat Dayak, kata Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Presiden Sabah STAR itu berkata, Masing telah menjadi suara untuk orang Dayak dan seorang tokoh terkemuka yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak bersama-sama pemimpin tempatan yang lain.
"Beliau adalah kawan baik... kami mula bersama pada 1980-an untuk bercakap mengenai isu Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Institut bagi Forum Kajian Strategik dan Antarabangsa.
"Kami disertai oleh golongan profesional dan intelektual lain dari negeri-negeri Borneo, termasuk Tan Sri Leonard Linggi Anak Jugah," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, peningkatan Masing dalam persada politik tempatan menyaksikan beliau menjadi antara personaliti Dayak terpenting.
Namun, Masing tidak pernah melupakan rakan-rakannya atau mereka yang berjuang bersama untuk hak Sabah dan Sarawak.
“Malah, beliau adalah pemimpin pertama yang memanggil dan mengucapkan tahniah kepada saya atas ucapan sulung saya di Parlimen pada 2018.
“Masyarakat Dayak di Sabah dan Sarawak akan merindui beliau kerana keberanian, kepimpinannya,” katanya lagi.
Masing, 72, meninggal dunia di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching pada Ahad (31 Oktober).
Mendiang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 28 Sept kerana jangkitan COVID-19 dan kemudian dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah.